Perak negeri pertama guna khidmat Warong Rider
IPOH - Perak menjadi negeri pertama menggunakan perkhidmatan penghantaran dalam talian yang dibangunkan rakyat tempatan dikenali sebagai Warong Rider.
Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan kerajaan negeri bagi menambah peluang pekerjaan kepada golongan belia di negeri itu.
Menurutnya, perkhidmatan itu juga secara tidak langsung membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang sedang dalam fasa pemulihan selepas terkesan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
"Objektif utama kita terlibat dengan Warong Rider ini adalah bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada golongan belia dan mereka yang diberhentikan kerja akibat pandemik tersebut.
"Perkhidmatan ini juga akan memberi manfaat kepada peniaga dan penjaja yang terdiri daripada golongan B40, asnaf dan ahli Gabungan Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM)," katanya kepada pemberita di Majlis Pra Pelancaran Warong Rider di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut dihadiri Presiden GPPPKMM, Datuk Ramli Noraini; Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perak, Asmadi Teh; Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan dan Ketua Pegawai Eksekutif Warong Rider, Mohd Nadzri Kamarulzaman.
Sementara itu, Khairul Shahril berkata, perkhidmatan Warong Rider tersebut yang dijangka beroperasi dalam masa dua bulan lagi akan mewujudkan kira-kira 1,200 peluang pekerjaan baharu.
Katanya, bagi fasa pertama, seramai 480 penghantar perkhidmatan tersebut akan dipilih berdasarkan syarat-syarat kelayakan tertentu yang ditetapkan.
"Bagi mereka yang berminat untuk menjadi kru Warong Rider di Perak ini, mereka perlu mengemukakan permohonan kepada Digital Perak yang mewakili kerajaan negeri. Perkhidmatan yang disediakan ini bukan sahaja makanan tetapi turut menerima penghantaran dokumen dan barang-barang lain.
“Kita menyasarkan setiap penghantar ini mampu mencecah pendapatan sebulan sebanyak RM1,200. Usaha ini bukan sekadar dapat membantu belia di Perak malah akan membantu pihak lain untuk memasarkan produk mereka,” katanya.
Menurutnya, perkhidmatan Warong Rider itu juga berbeza sedikit dengan perkhidmatan penghantaran sedia ada kerana tumpuan akan diberikan seluruh kawasan di Perak dengan sasaran sekurang-kurangnya 20 penghantar Warong Rider bagi setiap kawasan Parlimen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!