Saksi tidak pasti jasad dijumpainya milik Nora Anne

Yue Fatt selepas menghadiri proses prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban hari ini. - Foto Bernama
Yue Fatt selepas menghadiri proses prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa pada awalnya dia tidak dapat memastikan jasad manusia yang ditemukannya ialah Nora Anne Quoirin memandangkan kedudukannya yang agak jauh dari mayat itu.

Saksi awam Chong Yue Fatt, 57, yang merupakan individu pertama ternampak mayat remaja tersebut pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne berkata, ketika terlihat jasad itu, dia telah menjerit dengan kuat bagi memaklumkan ahli lain dalam kumpulannya tentang penemuan berkenaan.

“Sebaik menjumpai mayat itu, kami semua cuba membuat panggilan telefon kepada pihak berkuasa, namun gagal kerana tiada liputan. Justeru, kami menyuruh seorang lelaki India dalam kumpulan kami agar keluar dari kawasan tersebut dan memberitahu bapanya bagi memanggil pihak bomba ke lokasi.

“Semasa menunggu kedatangan pihak berkuasa, kami saling mengingati ahli kumpulan agar tidak mendekati mayat supaya tidak mencemarkan dan merosakkan bukti. Kami menunggu agak lama, sekitar satu hingga dua jam,” kata saksi ke-28 itu dalam bahasa Mandarin.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Maimoonah Aid bagi menentukan punca kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis itu memasuki hari ke-12 hari ini.

Menurut Yue Fatt, mayat remaja tersebut yang ditemukan kira-kira 50 meter dari sebuah pondok yang sebelum itu dilalui oleh kumpulan pencari berkenaan berada dalam keadaan terbaring di atas batu seolah-olah sedang tidur.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nuralis Mat yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues mengenai barangan yang ada di pondok, peniaga kasut itu berkata: “Saya nampak bekas makanan seperti Maggi dan botol minuman.”

Ketika ditanya oleh koroner mengenai siapa yang membuat keputusan tentang kawasan pencarian, Yue Fatt berkata, pencarian di kawasan tersebut dilakukan selepas dicadangkan oleh rakannya bernama Chan yang memberitahu dia telah mendapatkan tilikan daripada seorang sami di Thailand dalam usaha mengesan Nora Anne.

Artikel Berkaitan:

“Sami itu memberitahu Chan agar mencari mangsa di tempat yang ada sungai," katanya.

Sementara itu, saksi ke-29, Muhammad Firdaus Kamarudin, 35, berkata, dia ternampak seorang perempuan berambut panjang berwarna perang, bertubuh sederhana dan berkulit putih sedang mandi di tepi sungai di kawasan berkenaan pada 4 Ogos.

“Ketika itu saya dalam perjalanan ke tempat kerja di Loji Air Gunung Berembun dengan menaiki motosikal sekitar 7 malam dan saya hanya melihat sepintas lalu perempuan tidak berbaju sedang mandi membelakangkan saya,” katanya.

Operator Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) itu berkata, meskipun keadaan semakin gelap, dia dapat melihat kelibat perempuan berkenaan dengan jelas selain memberitahu mahkamah aktiviti mandi-manda di kawasan tersebut adalah perkara biasa yang dilakukan oleh penginap di resort berkenaan.

Muhammad Firdaus berkata, dia memaklumkan perkara itu kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) dua hari kemudian sebaik mengetahui berita mengenai kehilangan seorang remaja di kawasan berkenaan.

Terdahulu, dua saksi iaitu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris, 52, dan Pegawai Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Faizal Ahmad, 40, masing-masing sebagai saksi ke-26 dan 27, dipanggil memberi keterangan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Prosiding inkues bersambung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!