Kerajaan luluskan penubuhan JETCO di Singapura

Hasni
Hasni
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Persekutuan hari ini meluluskan penubuhan Johor Economic, Tourism and Cultural Office (JETCO) di Singapura.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, penubuhan JETCO di Singapura merupakan usaha kerajaan negeri dalam mendepani cabaran global pasca koronavirus (Covid-19).

"Semoga usaha ini dapat mengembalikan Johor sebagai negeri yang paling kompetitif dan berbudaya dalam rantau ini.

"Ia merupakan salah satu daripada Tujuh Ikhtiar Makmur Johor seperti yang saya umumkan pada Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, penubuhan JETCO adalah untuk mempromosi Johor sebagai destinasi pelaburan, perdagangan, pelancongan dan kebudayaan bertaraf global.

Katanya, dalam konteks ekonomi semasa, pandemik koronavirus (Covid-19) telah menjadikan globalisasi dan perdagangan antarabangsa amat terganggu dan Johor turut mengalami kesannya.

"Oleh itu, penubuhan JETCO Singapura ini bakal menerobos naratif baharu ekonomi, kebudayaan dan pelancongan pasca Covid-19," katanya.

Beliau berkata, selepas ini JETCO akan bergiat aktif dalam usaha membawa masuk pelaburan, mempromosi sektor pelancongan dan kebudayaan di antara Johor serta Singapura.

Artikel Berkaitan:

Katanya, JETCO akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi-agensi kerajaan Pusat dan kerajaan Johor dalam usahanya untuk menjaga kebajikan rakyat Johor di Singapura.

"Justeru, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, warga Kementerian Luar Negeri, penjawat awam kerajaan negeri dan semua pihak yang terlibat atas sumbangan menubuhkan JETCO," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!