Ada individu positif Covid-19 dipaksa ke hospital
PUTRAJAYA - Terdapat individu yang positif koronavirus (Covid-19) di Sabah dipaksa ke hospital oleh petugas kesihatan selepas enggan berbuat demikian.
Pendedahan itu dibuat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan segelintir individu di pedalaman dan perkampungan air di Sabah itu berikutan kurang pendidikan dan kefahaman mengenai Covid-19.
"Mereka kurang pemahaman berbanding penduduk di Semenanjung dan kami berdepan isu apabila mahu menghantar mereka yang tidak bergejala tetapi didapati positif, ke hospital," katanya.
Beliau berkata, pihaknya terpaksa bekerjasama dengan polis dan tentera bagi mengatasi masalah tersebut.
"Mereka enggan ke hospital walaupun positif kerana tidak bergejala," katanya.
Tambahnya, ada penduduk yang cuba melarikan diri apabila ternampak petugas kesihatan datang ke perkampungan mereka.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai penduduk di sebuah pulau di Sabah yang enggan keluar untuk menjalani saringan ketika petugas kesihatan datang ke kawasan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!