Penduduk diminta hubungi pegawai daerah untuk bantuan makanan

Shahelmey Yahya ketika melawat lokasi bantuan pusat agihan makanan di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu hari ini. -Foto Bernama
Shahelmey Yahya ketika melawat lokasi bantuan pusat agihan makanan di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Penduduk di kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini diminta menghubungi pegawai daerah atau pegawai kebajikan kawasan masing-masing bagi mendapatkan bantuan bakul makanan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, ini kerana bantuan bakul makanan bagi kawasan tersebut diutamakan kepada keluarga yang dikuarantin di rumah masing-masing.

"Pusat Kawalan Operasi Bencana Covid-19 daerah akan menyelaras agihan bakul-bakul makanan itu di daerah masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan sesetengah penduduk yang mendakwa bantuan tersebut tidak sampai kepada mereka.

Semalam, Shahelmey ketika melawat Pusat Agihan Bantuan Makanan di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu berkata, bantuan bakul makanan akan diutamakan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan yang diperintahkan menjalani kuarantin di rumah.

Namun, tambahnya, agihan bakul makanan juga akan dibuat di semua daerah yang telah dilaksanakan PKPB. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!