Dua wanita Islam cedera ditikam dekat Menara Eiffel
PARIS - Media Barat didakwa sengaja tidak menghebohkan insiden dua wanita Islam ditikam beberapa kali di lokasi berhampiran Menara Eiffel di Paris dalam kejadian serangan berunsur rasis di Perancis selepas sentimen anti-Muslim semakin meningkat di negara itu.
Susulan kejadian pada Ahad lalu, polis telah memberkas dua suspek wanita kulit putih yang didakwa turut menghamburkan kata-kata kesat ketika menyerang mangsa.
Mangsa serangan itu dikenal pasti sebagai wanita tempatan berketurunan Algeria yang hanya dikenali sebagai Kenza dan Amel.
Kenza ditikam sebanyak enam kali dengan kesan tusukan pada paru-paru, manakala Amel terpaksa menjalani pembedahan pada tangannya yang cedera dalam kejadian tersebut.
Pihak berkuasa hanya mengeluarkan kenyataan dua hari selepas insiden serangan di Champs-de Mars tersebut diikuti pejabat pendakwa raya yang mengesahkan kedua-dua suspek disiasat atas cubaan membunuh pada hari ini.
Akhbar Liberation memetik kenyataan Kenza melaporkan dia bersama keluarganya termasuk empat kanak-kanak sedang bersiar-siar ketika jam menghampiri 8 malam (waktu tempatan).
"Secara tiba-tiba, ada dua ekor anjing meluru ke arah kami hingga menyebabkan kanak-kanak mula takut. Sepupu saya yang memakai purdah meminta dua wanita terbabit supaya mengikat anjing mereka.
"Namun, pemilik anjing terbabit enggan berbuat demikian hingga mencetuskan pertengkaran yang berbaur rasis. Mereka kemudiannya menyerang kami dengan pisau," menurut laporan akhbar itu.
Dua pekerja kedai yang menyaksikan kejadian itu bertindak segera membantu kedua-dua mangsa dan menahan salah seorang suspek sementara menunggu ketibaan pihak berkuasa.
Difahamkan, suspek kedua berjaya diberkas tidak lama kemudian.
Islamofobia kembali melanda Perancis selepas kejadian seorang guru dipenggal di pinggir ibu negara kerana membuat tindakan provokasi menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW kepada murid-muridnya pada Jumaat lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!