Fitnah pada akhir zaman
SABDA Rasulullah SAW: Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah.
Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibhidah? Maka baginda SAW menjawab: Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar. (Riwayat Ibn Majah)
Hadis di atas mengkhabarkan kepada kita bahawa pada akhir zaman akan berlaku perkara-perkara berikut:
1. Pendusta dipercayai
Hari ini, orang lebih percaya kepada pendusta apalagi jika dia berjaya menguasai media sosial. Melalui media sosial, pengaruh dan kepercayaan dibina agar ramai yang mengikuti setiap apa yang ditulisnya.
Pendusta yang mempunyai wang yang banyak akan menaburkan wangnya kepada orang ramai bagi mencari pengaruh. Apatah lagi pada hari ini, ramai orang lebih cenderung untuk menyokong dan mempercayai mereka yang berduit daripada mereka yang tiada apa-apa.
Berapa ramai yang membela pendusta hanya kerana kehebatan pendusta dalam memutar belit fakta? Begitulah hakikat yang ada pada hari ini.
2. Orang yang jujur didustakan
Pada dunia akhir zaman ini, orang yang jujur tidak akan dapat kekal lama dalam satu-satu jawatan atau pangkat.
Kejujuran beliau amat dibenci kerana kejujuran itu akan menyekat pihak lain untuk mengaut kekayaan. Kerana itu, antara cara yang akan dilakukan adalah dengan menyebarkan fitnah secara meluas sehingga akhirnya orang lebih percaya kepada penyebar fitnah daripada pihak yang jujur dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.
Pada hari ini tidak sukar untuk menularkan fitnah. Dalam masa satu saat sahaja segalanya boleh tersebar dengan cepat.
3. Amanat diberi kepada pengkhianat
Pada hari ini memang banyak pengkianat agama, bangsa dan negara. Berapa ramai yang menggunakan agama untuk memenuhi kepentingan diri sendiri. Berapa ramai yang diberi amanat dan telah mengkhianati bangsa dan negara.
Mereka bukan memikul amanat itu untuk membela bangsa dan mendaulatkan negara tetapi sebaliknya membiarkan bangsa mereka sendiri terus meringkuk dalam kehinaan dan penderitaan dan membiar negara menuju kehancuran.
Amanat yang diberi bukan diguna untuk membantu rakyat tetapi digunakan untuk membolot kekayaan sebanyak mungkin biarpun ramai rakyat yang menderita.
4. Orang yang jujur dikhianati
Sedaya upaya usaha akan dilakukan untuk mengkhianati orang yang jujur. Semuanya dilakukan demi memastikan orang yang jujur tiada tempat di mana-mana apatah lagi untuk dipilih sebagai pemimpin. Kejatuhan akhlak pada akhir zaman ini sangat jelas sekali dan kerana itulah orang yang jujur sudah pasti akan diketepikan.
5. Orang bodoh mengurus hal-hal umum
Bagi orang yang ada mata hati yang jernih sudah pasti dapat melihat betapa ramainya orang-orang yang bodoh yang bukan ahlinya mula bercakap hal-hal yang bukan menjadi kepakarannya. Mereka ini dilantik menjadi pemimpin atau ketua untuk mengurus hal yang berkait dengan kepentingan awam. Kerana itulah kita boleh lihat sendiri pada hari ini bagaimana banyak perkara yang gagal ditangani dengan baik. Semuanya berpunca daripada kebodohan orang yang dilantik untuk mengurus perkara yang diamanahkan kepadanya.
Akhir kalam, semua fitnah akhir zaman ini berpunca daripada semakin jauhnya manusia daripada agama.
* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!