Belajar online di puncak bukit

A
A
A

PITAS - Kesukaran mendapatkan liputan internet di Kampung Mapad dekat Pitas, Sabah menyebabkan penduduk terutamanya murid dan pelajar mengambil inisiatif memanjat Bukit Lapis yang mengambil masa selama 10 minit sebelum sampai ke puncak bagi mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Perkara itu sudah dilakukan mereka sejak hampir sebulan lalu selepas pencawang telekomunikasi berhampiran dipercayai mengalami gangguan sehingga menyebabkan rangkaian internet di kawasan itu gagal dicapai.

Ditambah pula selepas sekolah ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 3 Oktober lalu bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19, yang memaksa murid mengikuti aktiviti pembelajaran secara dalam talian.

Menurut seorang penduduk, Doria Madoi, 51, bagi memastikan anak dan cucunya tidak ketinggalan dalam pelajaran, sepanjang tempoh itu dia menemani mereka belajar di atas bukit yang terletak tidak jauh dari rumah mereka.

“Sebelum ini, di rumah kami ada capaian internet tetapi sejak awal bulan ini, berlaku gangguan dan langsung tidak boleh digunakan.

“Panggilan telefon juga tidak dapat dibuat.

“Jadi saya terpaksa naik ke atas bukit yang bercerun untuk mendapatkan capaian internet.

“Anak bongsu dan cucu saya juga perlu ke bukit itu untuk mengikuti pembelajaran secara online.

Artikel Berkaitan:

“Mereka akan berada di situ seharian untuk belajar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Doria yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, disebabkan keadaan di atas bukit itu kurang selesa dan tiada tempat berteduh, dia mengambil inisiatif menyediakan peralatan seperti meja untuk anak dan cucunya belajar.

“Saya buatkan mereka meja menggunakan kayu yang diambil di sekitar bukit dan bawa kain kanvas untuk mereka berteduh sekiranya hujan atau panas.

“Malah, bekalan makanan juga dibawa, jadi mereka tidak perlu berulang alik ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Cathwin Chuan Pui Li, 20, yang merupakan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, Sarawak menganggap keadaan itu sebagai cabaran dalam menuntut ilmu.

“Jadual kuliah saya berlangsung seharian dan memerlukan saya menghantar tugasan sehingga ke malam.

“Jadi apabila ada masalah capaian internet seperti sekarang, sukar untuk saya menghantar tugasan.

“Saya terpaksa duduk seharian di atas bukit, kadangkala sehingga ke malam.

“Saya terpaksa berlapar semata-mata untuk menghantar tugasan atau mengikuti kuliah,” katanya.

Doria memasang kanvas agar anak dan cucunya dapat belajar dengan selesa di Bukit Lapis.
Doria memasang kanvas agar anak dan cucunya dapat belajar dengan selesa di Bukit Lapis.

Bagaimanapun, Cathwin beruntung kerana ibunya sentiasa menemaninya ketika belajar di atas bukit berkenaan.

“Bukit ini tidak jauh dari rumah tetapi agak tinggi dan laluannya juga curam.

“Kalau mahu berulang alik ke rumah memang susah. Kasihan pada ibu yang terpaksa menemani kami sehingga ke atas bukit,” katanya.

Sehubungan itu, Cathwin yang mengambil bidang pengajian Bahasa Melayu berharap liputan internet di kampung mereka dapat dibaiki segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!