Arsenal, Siti Nurhaliza pilihan Agong
PEKAN - Minat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam sukan bola sepak bukan rahsia dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, apa yang tidak diketahui ramai ialah Sultan Abdullah merupakan peminat kelab bola sepak terkenal Arsenal dan pernah menonton perlawanan bola sepak melibatkan pasukan itu secara langsung di stadium beberapa kali semasa menuntut di London.
Perkara ini dikongsikan oleh pegawai khas dan protokol Sultan Abdullah, Datuk Abd Rahman Endut, 65, yang masih setia berkhidmat di sisi Sultan Pahang keenam itu, sejak 1974.
"...team (pasukan) ialah Arsenal dan kalau bercakap tentang pemain ialah penyerang Perancis Thierry Henry yang juga pernah bermain untuk Arsenal selain penjaga gol Pat Jennings kerana meminati corak permainan mereka.
"Tapi walaupun Arsenal itu warnanya merah, Sultan Abdullah sebenarnya peminat warna biru," kongsi Abd Rahman mengenai minat Yang di-Pertuan Agong baharu itu ketika ditemui media di sini, baru-baru ini.
Sultan Abdullah hari ini secara rasminya diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 selepas melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Ketua Negara baharu di Istana Negara hari ini.
Bercerita lanjut, Abd Rahman menambah Sultan Abdullah yang lincah beraksi sebagai pemain tengah dalam perlawanan bola sepak, juga berkebolehan dalam pelbagai sukan lain seperti hoki, tenis, golf, berkuda, menyelam skuba, skuasy dan juga polo.
Malah, katanya Seri Paduka juga mempunyai lesen untuk mengendalikan helikopter dan pesawat ringan.
Beliau berkata semangat kesukanan Sultan Abdullah terserlah sejak dahulu, menyebabkan Seri Paduka tidak suka 'diberi kemenangan mudah' sebaliknya mahu diri baginda dianggap 'setaraf semasa berada di atas padang'.
"Kecederaan kaki baginda yang berulang beberapa kali sebelum ini juga berpunca akibat sukan iaitu kesan kecederaan lama sekitar 30 tahun dahulu akibat di ‘tackle' pemain lawan dalam perlawanan bola sepak.
"Semua orang cemas semasa melihat baginda jatuh di padang, tapi baginda sedikit pun tidak murka. Titah baginda itu lumrah bersukan. Saya yang risau kerana tuanku dinasihatkan menerima rawatan di hospital, tapi baginda enggan berlama-lama di hospital kerana takut jemu," katanya.
Abd Rahman menambah semangat kesukanan yang mendalam menyebabkan Sultan Abdullah tidak akan murka jika gagal membawa pulang hadiah acara yang disertainya, sebaliknya lebih suka kerana ia membuktikan perlawanan berlangsung secara adil.
Bercerita mengenai muzik pilihan Sultan Abdullah pula, Abd Rahman tersenyum kecil dan menjawab Seri Paduka meminati muzik balada manakala artis Malaysia kesukaan Seri Paduka adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza dan kumpulan Spring terutamanya lagu 'Pesanan Buat Kekasih'.
"Tuanku juga gemar mendengar lagu 'Hello' oleh Lionel Richie, 'How Deep Is Your Love' (Bee Gees) dan lagu 'You'Ve Got A Friend' selain ‘Permata Untuk Isteri’ (Kopratasa) dan ‘Kenangan Lalu’ (Flybaits)," katanya.
Abd Rahman juga berkongsi kenangan lama mereka menonton wayang di dua panggung wayang lama di bandar Kuantan yang sudah tidak wujud kini kerana tapaknya sudah dibangunkan menjadi kedai perabot dan hotel.
Katanya, Seri Paduka ketika itu menonton filem box office Hindustan 'Haathi Mere Saathi' pada tahun 1971 lakonan Rajesh Khanna dan filem dari negara seberang 'Cinta Pertama' yang popular pada tahun 1973.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!