Lucut hak wang RM2.7 juta, UMNO Selangor fail bantahan
KUALA LUMPUR - Badan Perhubungan UMNO Selangor (UMNO Selangor) memfailkan bantahan awal terhadap permohonan kerajaan untuk melucut hak wang berjumlah RM2,738,525.08 yang dirampas daripada pihaknya.
Wang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari badan politik tersebut didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam yang mewakili UMNO Selangor Muzzammil Merican ketika dihubungi Bernama berkata, notis bantahan tersebut telah disampaikan melalui satu surat kepada Mahkamah Tinggi di sini, pada 22 September lepas.
“Bantahan ini berkaitan dengan cara prosiding lucut hak ini dimulakan. Pihak kami akan berhujah bahawa prosiding ini telah dimulakan dengan cara salah.
“Semalam dijadualkan untuk pendengaran tersebut, tetapi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula 14 hingga 27 Oktober jadi prosiding telah dilapangkan,” katanya.
Muzzammil berkata, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, telah menetapkan 27 November depan untuk pendengaran notis bantahan awal berkenaan.
Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan selaku pemohon terhadap UMNO Selangor, yang dinamakan sebagai responden mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Sebelum ini, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dilaporkan berkata, agensi itu memfailkan permohonan terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!