Maskulin dari kaca mata dua ikon, Faizdickie & Karl Shafek

A
A
A

Hati wanita mana tidak cair melihat penampilan sang lelaki maskulin. Gaya yang memikat, smart, six pack, raut wajah seorang jantan dan cara berjalan bagaikan berada di pentas peragaan. Segala yang ada pada mereka itu menjadi igauan wanita. Lelaki maskulin dikatakan amat menitikberatkan kesempurnaan dalam mempamerkan sifat-sifat kelelakian, jauh berbeza dengan penampilan lelaki biasa.

OH! LELAKI menampilkan dua selebriti yang akan berdiskusi isu lelaki maskulin mementingkan penampilan diri berbanding lelaki biasa.

Faizdickie

instafamous yang popular dengan lelucon Komik Sengal dan seleksi video-video mencuit hati. Juga terkenal dengan watak Kak Leha Bunting, Na’abella, Sarabanon, Nurse Puaka dan Qais Wildan sehingga mendorong kemunculan komuniti Village People. Sindiran-sindiran deepnya sering menjadi bahan viral di media sosial.

Karl Shafek

pula, seorang pengacara televisyen yang popular. Wajah tampannya dan lontaran bicara yang meyakinkan, menggoda kaum ibu berbelanja besar di CJ Wow Shop. Jejaka ini juga pengasas kepada jenama pakaian Neonate Clothing

  1. Lelaki maskulin pentingkan gaya, lelaki biasa semberono sahaja. Apa pandangan anda berdua?
FAIZDICKIE : Memang tidak dinafikan lelaki maskulin lebih menjaga penampilan berbanding lelaki biasa. Mereka ada penampilan tersendiri, fesyen berbeza lebih ke arah smart dan sebagainya.Lelaki biasa bukan tidak ambil tahu tentang cara berpakaian, tetapi selari dengan gaya sendiri.Contoh, yang minat bola, mereka gemar memakai jersi berbanding kemeja dan sebagainya. Ada juga lelaki biasa yang hobinya suka sukan kereta dan motor, saya lihat mereka ini lebih suka memakai jaket kulit dan sebagainya.Apa yang ingin saya tekankan tidak semestinya lelaki maskulin menjaga penampilan, lelaki biasa pun sama tetapi mengikut gaya hidup masing-masing.

KARL SHAFEK: Sebenarnya saya percaya bahawa sahsiah diri setiap individu itu terbentuk daripada didikan yang sempurna serta pengaruh sekeliling yang diperoleh sepanjang kehidupan. Ada lelaki yang merasakan perlu untuk dia mengadaptasikan kebaikan pada penampilan ketika bergaya. Lelaki yang anggap dirinya maskulin, akan lebih selesa membawa imej sedemikian atas faktor ia boleh memberi kesenangan kepada dirinya. Bagi saya, lelaki biasa semberono ketika bergaya kerana lebih santai dan relaks. Bagi lelaki jenis ini, ketelitian mereka terarah kepada perkara lain yang lebih kompleks, contohnya kereta, gajet, percutian atau perbelanjaan untuk keluarga.

2.Lelaki maskulin tidak kisah berbelanja lebih untuk penampilan diri?

FAIZDICKIE: Saya setuju jika lelaki itu sedikit metroseksual. Mereka ini amat menjaga penampilan diri. Pakaian harus berjenama dan sentiasa kemas, termasuklah barangan lain semuanya mahal-mahal. Sudah pasti mereka ini menjalani kehidupan dengan kos yang tinggi. Berbanding lelaki biasa, penampilan mereka ikut personaliti, suka sukan bola sepak, baju mereka lebih banyak jersi. Namun ada juga jersi mahal jika melibatkan jersi edisi terhad. Mereka ini akan turut berbelanja tetapi tidaklah sebanyak lelaki maskulin yang selalu hendak nampak segak dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Artikel Berkaitan:

KARL SHAFEK: Perkara ini sangat subjektif dan setiap lelaki pasti akan memberikan jawapan berbeza. Berbalik kepada bagaimana dia terdidik terhadap kepentingan menjaga penampilan diri. Hal itu bergantung juga kepada kemampuannya yang mungkin percaya, jika dia berbelanja lebih untuk membeli produk keperluan dirinya, dia akan lebih yakin menjalani kehidupan seharian. Atau mungkin juga, produk yang tinggi harganya itu lebih sesuai untuk tubuh badannya. Saya sendiri percaya, kadang-kadang kita perlu tutup sebelah mata untuk mendapatkan produk berkualiti tinggi walaupun harganya lebih mahal.

3.Adakah lelaki maskulin cerewet memilih pasangan dan selesa hidup solo?

FAIZDICKIE: Penampilan seseorang itu tidak mencerminkan gaya hidup atau personaliti. Mungkin lelaki ini selesa gaya hidup maskulin tetapi tidak bermaksud dia cerewet. Dakwaan ini tidak tepat, mereka cerewet kerana mahukan pasangan hidup setaraf dengan dirinya yang menjaga penampilan diri, nampak cantik, kemas dan sebagainya. Lelaki maskulin yang selesa hidup solo dan kebanyakan lelaki metroseksual yang saya kenal adalah orang berjaya dan berduit. Apa yang saya perhatikan mereka suka enjoy dengan kehidupan, guna duit untuk melancong ke seluruh dunia. Macam saya sendiri, saya tidak cerewet memilih pasangan tetapi memilih antara gadis yang saya rasa selesa dan sesuai bersamanya. Selain itu, saya suka hidup solo dan mengembara ke seluruh dunia untuk melihat budaya dan masyarakat luar.

KARL SHAFEK: Secara personal, saya bukanlah seorang yang cerewet memilih pasangan. Namun setiap manusia pasti mempunyai cita rasa waima ketika memilih makanan atau pakaian. Cuba kita tanya kepada seorang nelayan, atau doktor, semestinya mereka juga akan rancak berbincang tentang taste mereka dalam memilih pasangan hidup. Sebagai lelaki beragama Islam, kita juga harus sentiasa percaya kepada rezeki, qadar dan qadak ALLAH. Jodoh dan pertemuan juga adalah urusan-Nya. Jika Tuhan berkehendakkan sesuatu, pasti perkara itu akan terjadi kerana ia adalah perancangan Yang Maha Esa.

4. Adakah lelaki maskulin lebih suka bergaul sesama mereka dan lelaki biasa tidak suka bersosial dengan lelaki maskulin?

FAIZDICKIE: Pada saya, ruang lingkup kawan-kawan tidak boleh disamakan dengan cara berpakaian atau penampilan diri. Sebab saya lihat golongan maskulin ada berkawan dengan rakan-rakan berbeza radar dengan mereka. Begitu juga lelaki biasa ada yang berkawan dengan lelaki maskulin. Mungkin apa yang menyebabkan mereka selesa berdasarkan kepada persamaan sesama mereka. Contoh lelaki maskulin suka berborak pasal fesyen atau topik-topik yang mereka suka dan faham. Tidak bermaksud mereka tidak bercampur, cuma lebih kepada mendekati individu yang kenal hati budi seseorang itu. Begitu juga dengan lelaki biasa lebih selesa orang yang ada persamaan diri.

KARL SHAFEK: Kita tidak seharusnya meletakkan label kepada sifat atau sikap seseorang. Personaliti setiap lelaki bukanlah tiket untuk kita menilai keperibadiannya. Kecenderungan bergaul atau memilih rakan sebenarnya dipengaruhi faktor keselesaan. Perkara yang paling penting sebenarnya adalah kepercayaan terhadap siapa yang ingin kita bergaul. Kata orang tua-tua, tak kenal maka tak cinta. Tak begitu?

5.Lelaki maskulin ambil masa lama bersiap, benarkah?

FAIZDICKIE: Pada saya ideologi sebegini agak lapuk. Semua orang menjaga penampilan diri, baik lelaki mahupun perempuan. Jadi tidak timbul isu, siapa yang bersiap cepat atau lama, sama juga dengan perempuan.

KARL SHAFEK: Saya akui memang ada lelaki yang memerlukan waktu lama untuk bersiap. Antaranya, lelaki yang sangat pentingkan soal kebersihan diri. Lelaki dalam golongan profesional pada zaman ini lebih terdedah dengan soal penjagaan diri untuk tampil sempurna ketika bersosial. Ini adalah sesuatu yang positif dan tidak perlu diperbesarkan. Namun, lelaki dalam kategori ini seharusnya bijak mengurus masa.

6.Perkembangan terkini anda berdua?

FAIZDICKIE: Aktif di sosial media, cuma saya sekarang lebih menghasilkan content yang lebih matang, tidak seperti dulu berbentuk parodi. Dan insya-Allah saya akan keluarkan produk sendiri iaitu produk sambal tiga jenis.

KARL SHAFEK: Kontrak saya sebagai pengacara CJ Wow Shop baru disambung untuk 2019. Selain itu, saya juga menguruskan perniagaan jenama pakaian street wear sendiri Neonate Clothing yang saya asaskan sejak 2014. Rancangan bual bicara terbaharu saya khas untuk lelaki iaitu Hei, Maskulin juga sedang rancak disiarkan TV1 pada setiap Sabtu, jam 1 tengah hari.

PORTFOLIO

NAMA: Mohd Nasrul Faiz Abu Azal / Faizdickie

UMUR: 30

ASAL: Selayang Baru, Selangor

HOBI: Membaca

JENAMA KEGEMARAN: H&M, Brands Outlet

WARNA PILIHAN: Hitam

FALSAFAH HIDUP : Tiada - saya tak suka compare life dengan orang lain

Always be happy

PENCAPAIAN DALAM KERJAYA: Pengamal media sosial - Pemenang Kategori Personaliti Media Sosial - ABPBH2014

NAMA: Khairul Shafek Ibrahim / Karl Shafek

UMUR: 39 Tahun

ASAL: Pekan, Pahang

HOBI: Menonton wayang dan berkebun

JENAMA KEGEMARAN: 'Sudah pastilah jenama saya sendiri - Neonate Clothing'.

WARNA PILIHAN: Biru dan kelabu

FALSAFAH HIDUP: You have to see the ugly to appreciate the good.

PENCAPAIAN DALAM KERJAYA: Pernah berkhidmat sebagai pramugara MAS sebelum bergiat dalam bidang penyiaran TV. Berjaya menempatkan jenama pakaian sendiri di pentas fesyen tanah air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!