Annuar nafi Presiden UMNO 'u turn' selepas empat jam bermesyuarat
SHAH ALAM - Dakwaan kononnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat pusingan U selepas mesyuarat selama empat jam bersama pemimpin-pemimpin UMNO adalah tidak benar.
Perkara itu dinafikan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengulas laporan sebuah portal mendakwa Ahmad Zahid menerima tekanan untuk mengisytiharkan gencatan politik dan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Laporan (portal) itu jelas tidak benar malah tidak wujud pun mesyuarat selama itu. Pertimbangan Presiden UMNO mengambil kira pandangan pelbagai pihak adalah keputusan beliau sendiri.
“Presiden dan UMNO memahami keutamaan adalah rakyat, apalagi bila membabitkan nyawa dan kesihatan,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya sebentar tadi.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, keputusan Presiden UMNO itu adalah tepat kerana mendahului rakyat dan negara berbanding politik.
"Situasi kita ini luar biasa. Tiada rujukan kecuali melihat kepada pelbagai pendekatan dan menggubal preskripsi kita sendiri. Kerajaan perlukan kestabilan. Kerajaan juga perlukan masa.
"Bajet perlu ada untuk membiayai pelbagai tindakan termasuk operasi melindungi nyawa rakyat. Ia tidak boleh tidak," katanya.
Terdahulu portal itu mendakwa kononnya berlangsung satu mesyuarat selama empat jam membabitkan Ahmad Zahid serta Pengerusi UMNO negeri yang marah dengan tindakan untuk menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, gerakan untuk menukar Perdana Menteri pada masa ini tidak akan membantu negara mengurangkan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!