Gencatan politik UMNO utamakan rakyat
KOTA KINABALU - Pendirian UMNO melaksanakan gencatan politik mencerminkan parti itu mengutamakan kepentingan rakyat ketika negara sedang menghadapi ujian besar, pandemik Covid-19.
Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, gencatan itu bukan bermaksud mengalah atau kalah tetapi membelakangkan kepentingan diri untuk kepentingan rakyat dan negara.
Beliau berkata, ahli politik dan parti perlu bekerja sebagai satu pasukan yang tidak mengambil kira aspek partisan dan mengetepikan prejudis.
"Masing-masing ada pendapat, ada kepakaran. Bentuklah satu pasukan yang dapat berkhidmat untuk rakyat. Ini dikira juga sebagai ‘normal baharu’," katanya menerusi catatan dalam blognya sallehsaid.com.
Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Usukan berkata, inilah masanya untuk ahli-ahli politik benar-benar menunjukkan kesatuan dan kesepakatan.
Jelasnya, rakyat yang berada di bawah hanya memerhatikan gelagat mereka yang di atas, dan rakyat tidak berhenti menggeleng kepala.
Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan menyatakan UMNO melaksanakan gencatan politik bagi mendukung usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kelembapan ekonomi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!