Covid-19: Pusat beli-belah lengang

Keadaan lengang di sebuah pusat membeli belah di sekitar Petaling Jaya hari ini.
Keadaan lengang di sebuah pusat membeli belah di sekitar Petaling Jaya hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Beberapa pusat membeli belah di sekitar Petaling Jaya didapati lengang sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) dikuatkuasakan pada 14 Oktober lalu.

Menerusi tinjauan Sinar Harian di tiga pusat membeli belah sekitar kawasan terbabit mendapati kebanyakan premis suram tanpa kehadiran pengunjung.

Peniaga makanan, Mariam Asraf,43, berkata, jumlah pengunjung agak kurang sejak awal PKPB dilaksanakan.

"Sebelum ini bolehlah dapat dalam RM300 sehari, tapi selepas PKPB nak dapat dalam RM70 pun susah.

"Memang perniagaan pun tak seberapa, saya harap sangat keadaan dapat kembali pulih seperti biasa," katanya.

Bagaimanapun tinjauan yang dijalankan turut mendapati perniagaan masih beroperasi seperti biasa di beberapa pusat membeli belah di sini.

Dalam pada itu, seorang peniaga pakaian, Santi Nordin, 24, mengakui jualannya agak merosot sejak kebelakangan ini.

"Keadaan di pusat membeli belah ini mula lengang sejak minggu lalu selepas kes positif Covid-19 dikesan semakin menunjukkan pertambahan.

Artikel Berkaitan:

"Saya risau juga jika keadaan berterusan begini, memang rugilah macam ini," katanya.

Keadaan lengang di sebuah pusat membeli belah di sekitar Petaling Jaya hari ini.
Keadaan lengang di sebuah pusat membeli belah di sekitar Petaling Jaya hari ini.

Sementara itu, pengunjung, Najamuddin Mohd Nor, 40, berkata, dia terpaksa datang ke pusat beli belah berkenaan untuk membeli barangan keperluan.

"Saya dari Kota Damansara, datang ke sini kerana nak beli barang aksesori telefon untuk kegunaan kerja.

"Kebetulan apa yang saya perlukan hanya dijual di sini, jadi saya kena datang ke sini dan berharap keadaan akan kembali normal seperti biasa selepas ini," katanya.

Terdahulu, kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 14 hingga 27 Oktober 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!