Pusat tahfiz santuni warga emas berbilang kaum, agama

Sebahagian pelajar Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Rahman menyantuni penghuni warga emas berbilang bangsa dan agama di Rumah Seri Kenangan, Taiping hari ini. (Gambar kecil: Abdullah Aiman)
Sebahagian pelajar Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Rahman menyantuni penghuni warga emas berbilang bangsa dan agama di Rumah Seri Kenangan, Taiping hari ini. (Gambar kecil: Abdullah Aiman)
A
A
A
TAIPING- [DIKEMASKINI] Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Rahman dari Selama mencipta kelainan apabila menyantuni masyarakat warga emas berbilang kaum dan agama dengan pelbagai program santai di Rumah Seri Kenangan, di sini sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

Lebih membanggakan, pelbagai program pengisian santai dianjurkan pusat tahfiz dari Kampung Seri Malau Dalam, Selama itu turut menekankan konsep ‘Blessing For All’ atau ‘Rahmatan Lil Alamin’ dengan melibatkan warga emas berbangsa Cina dan India.

Mudir Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Rahman, Abdullah Aiman Rusydi Abdullah, 27, berkata, penekanan konsep ‘Blessing For All’ dalam setiap program kemasyarakatan pihaknya amat penting kerana inisiatif itu menepis sentimen agama dan perkauman yang sering dikaitkan dengan pusat tahfiz.

Menurutnya, konsep ‘Blessing For All’ juga sebenarnya diterapkan dalam ajaran Al-Quran melalui perkataan ‘Rahmatan Lil Alamin’ dengan memupuk semangat kasih sayang dan mengambil berat terhadap golongan warga emas tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Bermula jam 9 pagi, kesemua pelajar membuat pelbagai aktiviti persembahan seperti nasyid, dikir barat dan deklamasi sajak untuk menghiburkan 35 warga emas pelbagai latar belakang kaum dan agama yang hadir ke program kami.

No Image Caption

“Syukur Alhamdulillah, pihak kami turut dimaklumkan menjadi pusat tahfiz pertama yang menjalankan program secara langsung melibatkan 38 pelajar dan lima guru di Rumah Seri Kenangan sejak pusat itu ditubuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran program ‘Blessing For All’ anjuran Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Rahman dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Taiping di sini, hari ini.

Abdullah Aiman berkata, pemilihan lokasi Rumah Seri Kenangan untuk pelaksanaan program kebajikan pihaknya berasaskan dari sudut latar belakang golongan warga emas yang pelbagai di samping pengurusan rapi di bawah JKM.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelajar tahfiz yang mendalami ilmu Al-Quran dan Sunnah diajar untuk bukan sahaja menjaga keharmonian sesama umat Islam dan agama, bahkan didedahkan dengan tanggungjawab membawa mesej rahmat kepada seluruh manusia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Ajaran Islam disampaikan Nabi Muhammad SAW mengajak umat Islam berbuat baik kepada semua dan tidak membuat penindasan terhadap kaum lain.

“Kita akan teruskan program kebajikan bersifat ‘Blessing For All’ dengan program dirancang selepas ini adalah program 'street' dakwah bersama gelandang berbilang agama dan bangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Abdullah Aiman mengajak kesemua pengusaha pusat tahfiz untuk kembali bermuhasabah diri dalam menangani pelbagai persepsi dan tohmahan negatif terhadap pusat tahfiz daripada masyarakat luar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!