Covid-19: Perak salur bantuan ke Sabah

Ahmad Faizal (tengah) dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi bersama pasukan Hoki Perak.
Ahmad Faizal (tengah) dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi bersama pasukan Hoki Perak.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan menyalurkan bantuan kepada rakyat Sabah yang terkesan teruk dengan penularan kes jangkitan koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sumbangan itu sebagai tanda sokongan dan keprihatinan kerajaan terhadap penduduk di sana yang melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Saya sedang berkira dengan Pejabat Kewangan Negeri untuk sampaikan sedikit bantuan kepada kerajaan Sabah.

"Kes positif membabitkan rakyat Sabah meningkat tinggi, jadi inilah masa untuk kita bantu.

"Insya-ALLAH berkaitan jumlah bantuan, saya akan umumkan dalam masa terdekat dan kita akan salurkan ke dalam Tabung Bencana Covid-19 Negeri Sabah," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Negeri Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamad dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Johari Sham Ahmad Shohor Affendi.

Sejak 1 Oktober lalu, kes Covid-19 di Malaysia berterusan mencatatkan tiga angka dan puratanya Sabah antara negeri penyumbang angka tertinggi kes baharu sejak gelombang ketiga wabak itu melanda negara, September lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan bahawa Exco Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan, Datuk Abdul Yunus Jamahri sedang melalui kuarantin kendiri selepas terdedah dengan kontak rapat pesakit Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau itu telahpun menjalani saringan Covid-19, namun belum mendapat keputusan ujian.

"Jika didapati negatif, maka beliau bolehlah meneruskan tugas seperti biasa, tetapi buat masa ini beliau ambil tindakan yang betul dengan mengasingkan diri.

"Semalam beliau juga tidak hadir Mesyuarat Exco disebabkan perkara ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!