Akta berkaitan Covid-19 diwartakan esok

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 akan diwartakan esok setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, akta tersebut telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Ogos lalu dan di Dewan Negara pada 22 September lalu.

Beliau berkata, usaha untuk mewartakan akta tersebut menunjukkan kerajaan Persekutuan sejak awal amat komited dan prihatin terhadap usaha mengurangkan kesan Covid-19 bukan sahaja dalam aspek kesihatan tetapi ekonomi individu dan syarikat di negara ini.

"Akta itu akan berkuat kuasa selama dua tahun dari tarikh penyiaran pada 23 Oktober dalam Warta Kerajaan atau sebagaimana tarikh dan tempoh kuat kuasa yang telah diperuntukkan di mana-mana Bahagian yang berkaitan dalam akta tersebut.

"Pelaksanaan ini secara keseluruhannya dapat memberi manfaat kepada setiap individu dan syarikat yang terkesan dari aspek ekonomi akibat penularan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin pada masa sama berkata, pihak-pihak berkontrak yang bertikai boleh menyelesaikan pertikaian secara baik tanpa melibatkan proses perbicaraan undang-undang di mahkamah melalui perkhidmatan pengantaraan Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, perkhidmatan pengantaraan yang akan dijalankan melalui PMC-19 adalah terbuka kepada semua pihak dengan nilai pertikaian RM300,000 ke bawah.

"Kerajaan juga akan membiayai kos perkhidmatan pengantaraan kepada golongan B40 dan M40 serta perusahaan bersaiz mikro dan kecil.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan pengantaraan ini boleh diajukan melalui pertanyaan@pmc19.gov.my," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!