Penglibatan Proton dalam sukan bermotor beri manfaat
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd Abdul Rashid Musa berkata sukan bermotor merupakan arena penting apabila membangunkan kereta yang lebih baik berikutan suasana tekanan tinggi sukan itu terbukti menjadi tempat latihan yang amat baik untuk jurutera, pereka, mekanik dan pengurus.
“Ia turut menggalakkan semangat inovasi kerana keputusan perlu dibuat dengan cepat dan kereta dikawal oleh peraturan yang ketat.
“Prestasi dan kebolehpercayaan kereta Proton yang terbukti, merupakan produk daripada sejarahnya yang bersaing dalam sukan bermotor," katanya sambil menambah manfaat kejuruteraan jelas dapat dilihat dalam pelbagai model dan proses berulang berikutan kereta yang lebih baik menjadi kereta lumba yang lebih baik.
Abdul Rashid berkata ini terbukti dalam Sepang 1000KM Endurance Race (S1K) apabila Proton menjadi satu-satunya jenama mempunyai empat model kereta berbeza sebagai pemenang.
Pasukan Proton R3 mempertahankan gelaran S1K yang dimenanginya pada 2017 dengan memperoleh kemenangan kedua berturut-turut pada tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!