Jangan terpedaya ubat sembuhkan Covid-19: Dr Noor Hisham
PUTRAJAYA - Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dan membeli ubat-ubatan yang diiklankan di aplikasi jual beli dalam talian yang kononnya berkesan untuk merawat jangkitan koronavirus (Covid-19).
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, tiada lagi mana-mana ubat yang disahkan berkesan serta mampu merawat individu daripada jangkitan Covid-19.
Menurutnya, sekiranya wujud ubat yang mampu menyembuhkan Covid-19 ini, sudah tentu individu itu telah menjadi seorang jutawan.
“Setakat ini, masih tiada ubat berkesan untuk rawat penyakit ini dan kalau mereka ada ubat sembuhkan (Covid-19) sudah tentu individu ini telah kaya raya kerana satu dunia mencari ubat ini,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai iklan ubat-ubatan kononnya mampu menyembuhkan Covid-19 yang dijual di aplikasi jual beli dalam talian.
Semakan Bernama di aplikasi jual beli dalam talian ini mendapati ubat-ubatan dari negara China itu dijual dengan harga RM12.
Isnin lepas, Dr Noor Hisham berkata, penggunaan ubat antivirus remdesivir didapati tidak berkesan dalam merawat pesakit Covid-19 serta tidak membantu mengurangkan kes kematian akibat wabak itu.
Menurutnya, kajian klinikal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu ‘Solidarity trial’ turut membuktikan ubat anti-malaria hydroxychloroquine, serta lopinavir dan ritonavir, tidak berkesan dalam merawat pandemik itu.
Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata, ubat antivirus dexamethasone iaitu ubat menghalang radang paru-paru didapati berkesan dan memberi hasil positif terhadap kesihatan pesakit Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!