UMNO Kelantan sokong gencatan politik

Ahmad Jazlan Yaakub
Ahmad Jazlan Yaakub
A
A
A

KOTA BHARU – UMNO Kelantan menyokong penuh gencatan politik yang diumumkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu melakukan gencatan politik untuk menumpukan usaha menangani wabak koronavirus (Covid-19).

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dalam satu kenyataan di Facebooknya memaklumkan, kenyataan yang dikeluarkan Ahmad Zahid adalah suatu yang tepat pada masa ini.

Menurutnya, semua pihak wajib mengetepikan ketidaksefahaman politik kerana negara ini sedang menghadapi masalah yang lebih besar daripada isu politik.

“Rakyat sedang berjuang untuk kelangsungan hidup dan menjaga keluarga daripada penularan pandemik Covid-19. Petugas-petugas kesihatan dan keselamatan sedang bertarung nyawa untuk mengekang wabak ini daripada terus merebak.

“Oleh itu, kita sewajarnya berganding bahu untuk terus bersama-sama dengan kerajaan dalam mencegah wabak tersebut,” katanya.

Beliau berkata, menjadi kewajipan pihak kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara bagi membantu rakyat yang sedang bergelut dengan kehidupan dan cabaran mencari pendapatan.

"Sudah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk mendengar dan membantu menyelesaikan segala keluh kesah yang dinyatakan rakyat daripada pelbagai peringkat.

"Malah kerisauan rakyat juga sebenarnya adalah kebimbangan kerajaan dan oleh sebab itulah semua pihak perlu hentikan ketidaksefahaman politik serta bantu negara untuk bebas daripada Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid dalam satu kenyataan semalam menekankan bahawa parti itu melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan.

Menurutnya, ia juga bagi memastikan kegelisahan rakyat akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

Katanya, pendirian UMNO mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi.

Malah, UMNO juga mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet ketika ini memberikan sepenuh penumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat meringankan beban yang ditanggung mereka akibat kesan ekonomi dan Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!