Hanya petugas penuhi kriteria dibayar elaun khas Covid-19

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjelaskan hanya petugas perubatan dan kesihatan di Hospital Kajang yang memenuhi kriteria layak dibayar elaun khas Covid-19 bermula Julai lepas. Gambar hiasan
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjelaskan hanya petugas perubatan dan kesihatan di Hospital Kajang yang memenuhi kriteria layak dibayar elaun khas Covid-19 bermula Julai lepas. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjelaskan hanya petugas perubatan dan kesihatan di Hospital Kajang yang memenuhi kriteria layak dibayar elaun khas Covid-19 bermula Julai lepas.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, ia selaras dengan surat pekeliling bertarikh 21 April iaitu ‘Penambahbaikan Dalam Pemberian Elaun Khas Kepada Doktor dan Anggota Kesihatan Yang Terlibat Secara Langsung Dalam Usaha Menangani dan Membendung Penularan Wabak Covid-19’.

"Dakwaan pihak tertentu seperti diterbitkan sebuah laman web bahawa elaun khas Covid-19 bagi petugas Hospital Kajang masih belum dibayar adalah tidak berasas.

"Pegawai perubatan, anggota kesihatan dan pegawai forensik yang digerakkan ke zon merah masih menerima elaun khas berkenaan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Sha’ari berkata, Hospital Kajang termasuk dalam kategori ‘hospital saringan’ iaitu yang menyediakan perkhidmatan kaunter saringan dan khidmat nasihat namun jika terdapat kes positif, pesakit akan dirujuk serta-merta ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Bagi tujuan tersebut, Hospital Kajang telah mewujudkan Kabin Khas Saringan Covid-19 pada Mac lepas dan Wad 6 dikhaskan untuk kes ‘Suspected Severe Acute Respiratory Illness’ (SARI).

"Dalam tempoh tersebut pegawai perubatan atau kakitangan kesihatan yang terlibat telah dibayar elaun berkenaan,” katanya.

Dr Sha’ari berkata, susulan penurunan kes Covid-19 sejak Mei lepas sehingga mukim Kajang dikategorikan sebagai zon hijau, Hospital Kajang menangguhkan operasi Wad 6 dan menutup kabin khas pada Jun apabila tiada kes positif direkodkan di fasiliti kesihatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Oktober lepas, sebuah portal yang melaporkan berita mengenai bidang kesihatan menyiarkan artikel bertajuk 'Keadilan untuk barisan hadapan, elaun Covid-19 belum dibayar sejak Julai - Petugas Hospital Kajang’ di ruangan kolum pembacanya.

Menerusi artikel tersebut, penulis mendakwa tidak menerima elaun khas Covid-19 bermula Julai sehingga bulan ini.

-Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!