Kaji kesan penggunaan WhatsApp
TANPA disedari, pandemik koronavirus (Covid-19) telah mewujudkan senario betapa beberapa aplikasi khususnya Whatsapp telah menguasai sistem komunikasi manusia secara dominan. Terbaru, WhatsApp dikatakan hampir menandingi Skype. Tidak mustahil kalau satu hari nanti, WhatsApp menjadi aplikasi perhubungan terunggul dunia.
WhatsApp yang menggunakan platform aplikasi pesanan mudah alih kini dianggap produk komunikasi paling lama digunakan pengguna di seluruh dunia. Aplikasi itu dibeli Facebook pada 2014 dengan harga lebih RM79 juta.
Computer Network (CNET), laman web terkemuka Amerika Syarikat dalam ulasan terkininya melaporkan WhatsApp muncul platform rangkaian sosial media ketiga paling popular selepas Facebook dan YouTube. Sejak Januari lalu, lebih 2 bilion pengguna aktif WhatsApp di 180 negara.
WhatsApp popular di India dengan 340 juta pengguna, diikuti Brazil (99 juta), Amerika Syarikat (68 juta) dan Indonesia (60 juta). Malaysia tempat ke-11 dengan jumlah pengguna WhatsApp seramai 21 juta.
WhatsApp menggunakan versi isyarat protokol ‘pulas’ atau ‘tweaked’ signal protocol version. Kajian penulis mendapati WhatsApp menggunakan teknologi ‘Erlang’ iaitu sistem bahasa pengatur caraannya yang direka bentuk ‘boleh-skala’ dalam tempoh masa nyata atau ‘real-time basis’ walaupun keperluan mendesak atau ketika trafik tinggi.
Erlang sangat ringkas tetapi mempunyai fungsi memori automatik walaupun keadaan mendesak.
Teknik Estensible Messaging and Presence Protocol (XMPP) membolehkan pengguna menukar data dengan pengguna lain. XMPP ini menggunakan pelayan ‘Ejabberd’ dengan sistem operasi ‘FreeBSD’ berkonsepkan desentralisasi atau pemencaran data secara selamat dan fleksibel.
Penggunaan aplikasi WhatsApp ialah percuma. Persoalannya bagaimana Facebook meraih keuntungan sehingga sanggup membeli WhatsApp dengan harga mencecah RM79 juta? Sebenarnya, ia berdasarkan modul perniagaan satu dolar dalam satu-satu masa secara berterusan.
Maksudnya ialah diberikan percuma pada tahun pertama langganan tetapi mengenakan caj satu dolar pada tahun berikutnya kepada hanya 50 peratus daripada keseluruhan negara secara berselang-seli.
Sekiranya WhatsApp mempunyai 2 bilion pelanggan setahun daripada 180 negara, ini bermaksud dalam tempoh 2 tahun, WhatsApp memperoleh pendapatan dianggar AS$2 bilion (RM8.3 bilion).
Persoalannya, apakah kesan penggunaan WhatsApp kepada sistem komunikasi di negara ini secara khusus?
Penulis percaya WhatsApp sebenarnya telah mengubah dunia secara halus. Penulis bimbang pandemik Covid-19 akan melahirkan generasi WhatsApp yang amat percaya kepada kuasa aplikasi berkenaan. Sebagai seorang yang berpengalaman secara langsung dalam dunia akademik, ada pelajar yang mengaku mahu membunuh diri sekiranya tidak dapat menggunakan WhatsApp.
Apa yang pasti ialah komunikasi tanpa WhatsApp, kini dianggap satu kejanggalan. Penulis juga percaya penyangak siber dan scammer telah memanfaatkan penggunaan WhatsApp untuk mengaut keuntungan lumayan. Justeru, harus difikirkan satu mekanisme untuk mengekang penggunaan WhatsApp secara semberono sehingga mendatangkan masalah.
Kesimpulannya, penulis percaya Malaysia harus meneliti kenapa China, Korea Utara dan Syria tidak membenarkan penggunaan WhatsApp. Malaysia wajar mengambil langkah pro-aktif bagi mengenal pasti kesan penggunaan WhatsApp secara keterlaluan kepada penduduk negara ini.
* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!