Safawi perlu masa berkembang

Safawi Rasid. Foto: Portimonense Futebol SAD
Safawi Rasid. Foto: Portimonense Futebol SAD
A
A
A

PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihati peminat bola sepak negara bersabar untuk melihat kelibat Safawi Rasid bermain bersama skuad utama kelab Portugal, Portimonense SC.

Menurutnya, penyokong perlu memahami dan menghormati proses sesebuah kelab sebelum seseorang pemain boleh berada dalam kesebelasan utama pasukan tersebut.

“Saya rasa penyokong bola sepak tanah air kena faham proses. Pemain kita datang daripada ranking rendah dunia dan apabila pemain kita ke luar negara, mereka akan ada pesaing dalam pasukan mereka sendiri dari negara seperti Brazil, Colombia atau Ukraine yang berada di ranking sangat tinggi dalam dunia.

“Mereka juga daripada kecil telah diberikan pendidikan bola sepak yang jauh lebih tinggi daripada liga kita di sini.

“Jadi walaupun pemain kita berbakat, mereka perlu masa untuk berkembang. Kita kena hormati masa yang diberikan oleh kelab tersebut dan kita kena percaya proses tersebut,” katanya.

Terdahulu, penyokong bola sepak negara ini kecewa apabila pemain sayap skuad Harimau Malaya berusia 23 tahun kelahiran Dungun Terengganu itu yang kini dipinjamkan ke Portimonense SC tidak diberikan peluang bermain dalam kesebelasan utama kelab itu sebaliknya membuat debut bersama skuad Bawah 23 tahun.

Dalam masa sama, Tunku Ismail juga berhubung dengan Safawi setiap hari untuk mengetahui perkembangan pemain sayapnya itu di kelab tersebut.

“Kami sering berhubung, boleh kata setiap hari untuk tahu keadaan dia di sana.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga berhubung dengan pemilik kelab untuk pastikan dia dijaga, semua dalam keadaan baik dan juga dari segi latihan yang diberikan kepadanya. Saya doakan yang terbaik dan kita tengok macam mana nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!