Realiti pahit angka tiga digit Covid-19

Gelombang ketiga virus Covid-19 pada ketika ini secara am terbahagi kepada tiga kelompok iaitu kelompok di Sabah, penjara dan Lembah Klang. (AP Photo/David J. Phillip) Gambar Kecil: Dr Rohaizat Yon
Gelombang ketiga virus Covid-19 pada ketika ini secara am terbahagi kepada tiga kelompok iaitu kelompok di Sabah, penjara dan Lembah Klang. (AP Photo/David J. Phillip) Gambar Kecil: Dr Rohaizat Yon
A
A
A

[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Kenaikan jumlah kes harian Covid-19 di Malaysia sehingga mencecah tiga digit sejak awal bulan Oktober menyajikan realiti pahit bahawa negara sedang berdepan ledakan gelombang ketiga koronavirus.Lebih menakutkan dengan kluster Covid-19 kali ini lebih pelbagai, rakyat Malaysia seolah-olah dihantui virus itu di mana-mana sahaja.

Setakat ini sekurang-kurangnya 11 buah pusat beli-belah di Lembah Klang dan 12 buah sekolah di seluruh negara telah mempunyai kes positif Covid-19.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon, meskipun kes harian menunjukkan jumlah yang tinggi, namun majoriti kes berasal dari Sabah dan pada ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain agensi sedang menumpukan segala bentuk bantuan kepada negeri itu bagi menangani Covid-19.

“Gelombang ketiga virus Covid-19 pada ketika ini secara am terbahagi kepada tiga kelompok iaitu kelompok di Sabah, penjara dan Lembah Klang.

“Kita telah melaksanakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabah dan keadaan terkawal dengan adanya prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti kawalan keluar masuk di Sabah dan ujian saringan yang komprehensif,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengakui kes di Negeri Di Bawah Bayu itu kini menuju ke arah penstabilan dan penurunan, Rohaizat berkata, ramai petugas kesihatan seperti doktor pakar, jururawat, doktor bersara, kontrak dan sukarela dikerah ke Sabah. Selain itu pihak KKM turut menghantar peralatan seperti ventilator serta PPE yang secukupnya.

“Pada ketika ini terdapat sembilan hospital yang boleh merawat pesakit Covid-19 ditambah dengan 27 buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid Berisiko Rendah (PKRC). Tidak cukup dengan itu kita juga ada Hospital Medan (field hospital) dengan kerjasama tentera yang memiliki 100 buah katil untuk pesakit Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Statistik Covid-19 di Malaysia
Statistik Covid-19 di Malaysia

“Kita juga bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan NADMA untuk membantu PKRC dari segi makanan. Sampel-sampel yang terlalu banyak dari Sabah turut diterbangkan ke Semenanjung dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia dan Pos Laju,“ tegas beliau.

Langgar SOP

Rohaizat menambah, bagi kluster penjara, peningkatan berlaku disebabkan fasiliti yang padat sepertimana dahulu adanya kluster Depot Tahanan Imigresen, cuma bezanya penjara berada di kawasan tertentu dan pelaksanaan lockdown, SOP dan nyahkuman mampu mengawal peningkatan kes Covid-19.

“Bagi kluster di Lembah Klang dan Selangor, kita percaya dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pemantapan SOP kita mampu menangani virus Covid-19. Bagi lain-lain negeri kes-kes tidak begitu tinggi dan terdapat kawasan yang hijau,“ katanya.

Dr Malina Osman
Dr Malina Osman

Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, pola gelombang ketiga yang dikesan mulai minggu keempat bulan September dijangka meningkat bagi tempoh dua hingga empat minggu akan datang.

“Kepatuhan terhadap SOP merupakan faktor penentu sama ada rantaian jangkitan dapat diputuskan dan kes seterusnya dapat diturunkan,“ kata Malina kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Tegas beliau, kepatuhan terhadap SOP masih memerlukan perhatian serius berikutan ramai yang mengambil sikap sambil lewa serta mempermudahkan risiko jangkitan.

“Kepatuhan terhadap SOP yang tidak diambil berat menyaksikan ramai yang masih tidak memakai pelitup muka dengan sempurna iaitu membiarkan hidung tidak ditutup serta tidak menjaga jarak.

“Selain itu, masih ramai yang mengadakan himpunan sosial tidak rasmi serta majlis-majlis keraian yang sepatutnya ditangguhkan,“ katanya lagi.

Pandemik yang telah menjangkiti lebih 41 juta orang dan meragut lebih sejuta nyawa di seluruh dunia itu akan berlarutan sehinggalah vaksin berkesan ditemui.

Apa yang mampu dilakukan pada ketika ini adalah mematuhi SOP kesihatan yang digariskan pihak berkuasa bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti.

Mutasi

Menurut laporan laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 19 Oktober terdapat 198 vaksin percubaan yang sedang diusahakan di seluruh dunia dan 44 daripadanya kini berada di peringkat ujian klinikal.

Dr Sazaly Abu Bakar
Dr Sazaly Abu Bakar

Pakar virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar pula berkata, seperti yang dinyatakan KKM, kegagalan segelintir masyarakat mematuhi sepenuhnya SOP merupakan antara punca ledakan gelombang ketiga yang menyaksikan 204 kes kematian direkodkan di seluruh negara setakat 22 Oktober.

Sazaly yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika Universiti Malaya bagaimanapun menegaskan, tiada bukti untuk menyokong kebarangkalian virus Covid-19 semakin bermutasi sekali gus menyebabkan ia lebih mudah berjangkit.

Terdahulu, mutasi D614G dikatakan punca virus dalam pesakit tinggi namun Sazaly berkata, setakat ini tiada bukti saintifik yang kukuh bagi menyokong peranan mutasi tersebut dalam penularan virus gelombang ketiga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!