Ganti gajet dengan al-Quran
SHAH ALAM - Ibu bapa dinasihatkan mengubah budaya memberi anak gajet dan menggantikannya dengan al-Quran kerana ia dapat mengelakkan berlakunya kemurungan lebih-lebih lagi ketika normal baharu sekarang yang menuntut orang ramai lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
Pengarah Urusan Konsultan Motivasi dan Kaunseling Hushim, Hushim Salleh berkata, pemberian gajet untuk 'mendiamkan' anak-anak ketika berada di rumah merupakan satu kesilapan besar yang dilakukan ibu bapa sekarang.
Menurutnya, budaya itu akan merosakkan anak-anak kerana kandungan negatif yang boleh diakses menerusi gajet itu selain boleh mengubah karektor anak-anak menjadi degil, tidak mendengar kata, bersifat melawan dan lebih suka menyendiri.
"Bila ibu bapa ambil semula telefon dan simpan, dia (anak-anak) tak bercakap, diam dan tunjuk muka (protes). Sebab sekarang, (anak-anak) umur dua tahun dah diberi gajet.
"Jadi situasi sekarang, gajet mengganti al-Quran. Jadi saya seru ibu bapa belilah al-Quran, harga pun murah. Baca al-Quran dan cerita pada anak-anak tentang kandungannya," katanya pada Wacana Al-Quran Siri Empat bertajuk 'Terkurung Jadi Murung' yang disiarkan secara langsung dari Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.
Dalam wacana itu, Hushim bergandingan bersama Timbalan Pengarah, Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi sebagai panelis dan Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan Surah Al-Balad.
Beliau berkata, ibu bapa juga disarankan untuk menyuburkan budaya solat berjemaah dan disarankan selepas selesai solat, tazkirah ringkas diberikan kepada anak-anak berdasarkan intipati al-Quran.
Hushim menegaskan, motivasi paling hebat dalam dunia juga menerusi solat sunat tahajud kerana ia dapat menjadi ubat kepada kesedihan hati dan kemurungan.
Menurut beliau, penggunaan gajet tanpa kawalan dalam kalangan anak-anak juga menyebabkan ada antara mereka tidak tidur malam kerana leka bermain 'games' dan melayari kandungan negatif yang memberi kesan kepada mental mereka sekali gus mewujudkan budaya hidup yang tidak sihat.
Justeru, katanya, ibu bapa sebenarnya memainkan peranan paling penting untuk mewujudkan komunikasi mendidik dan berhemah bagi mengubah tabiat anak.
Tambahnya, sekiranya komunikasi mendidik itu menjadi satu amalan, ia mampu memberi suntikan semangat kepada anak-anak mereka agar tidak cepat berputus asa walaupun berdepan dengan pelbagai ujian hidup terutama keadaan kemelesetan ekonomi akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) sekarang.
"Mungkin ada antara anak menantu kita dibuang kerja waktu sekarang ini, jadi ibu bapa boleh ambil peluang untuk menjadi pendengar yang baik.
"Kita ambil contoh kisah Nabi Yusuf AS. Kenapa baginda banyak bercerita dan mengadu kepada ayahandanya, Nabi Ya'akub AS bukan kepada orang lain?" katanya.
Katanya, dalam mengubati kesedihan dan kemurungan juga umat Islam boleh mengamalkan solat sunat tahajud kerana ia merupakan ubat paling hebat dan terbukti mampu memberikan manusia motivasi untuk tidak berputus asa dalam hidup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!