Bomba selamatkan kakitangan Perhilitan dipatuk ular kapak
KUALA BERANG - Sepasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu yang cedera selepas dipatuk ular kapak di Hutan Simpan Sekayu di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang Hanaffi Mohd berkata, Muhammad Imran Khasimin Kamarul Zaman, 24, dipatuk ular kapak di bahagian buku lali kaki kiri ketika menyertai kursus latihan di hutan simpan itu.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.50 petang sebelum lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. Bomba mengambil masa lebih empat jam berjalan untuk masuk ke lokasi kejadian dan membawa mangsa keluar.
“Anggota kita terpaksa berjalan kira-kira sejauh enam kilometer dengan meredah sungai dan hutan untuk membawa keluar mangsa ekoran ketiadaan laluan kenderaan di hutan simpan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, mangsa yang berada dalam keadaan stabil dibawa keluar menggunakan pengusung dan operasi ditamatkan pada 8.30 malam tadi.
"Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,' katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!