Presiden Nigeria desak penunjuk perasaan bersurai

Mohammadu Buhari - Foto AFP
Mohammadu Buhari - Foto AFP
A
A
A

MAIDUGUR - Presiden Nigeria, Mohammadu Buhari semalam menyeru golongan muda yang melakukan demonstrasi jalanan di bandar-bandar di seluruh negara supaya bersurai, lapor Agensi Anadolu.

Dalam ucapan rasmi pertamanya terhadap tunjuk perasaan ganas ekoran membantah kekejaman polis, beliau berkata, pihak yang berniat jahat mengambil kesempatan untuk mencetuskan hura-hara serta memusnahkan harta benda awam dan swasta.

"Kehidupan manusia telah hilang; tindakan keganasan seksual telah dilaporkan, dua kemudahan utama diserang dan banduan dibebaskan, harta benda awam dan swasta musnah atau dirosakkan sepenuhnya," katanya di Twitter.

Beliau berkata, pemerintah mendengar dengan jelas tuntutan penunjuk perasaan untuk memansuhkan unit polis Pasukan Khas Anti Rompakan (SARS), meminta mereka untuk mengakhiri tunjuk perasaan, yang sudah bertukar menjadi ganas di beberapa bahagian di negara ini.

Presiden juga mengumumkan telah mengarahkan Suruhanjaya Gaji, Pendapatan dan Upah Nasional untuk mempercepat tindakan penyelesaian struktur gaji baharu anggota Pasukan Polis Nigeria dan insentif lain.

Buhari berkata, pemerintah mengiktiraf hak warga negara untuk melakukan protes tetapi memberi amaran kepada penunjuk perasaan agar tidak melanggar hak orang lain.

"Saya menyeru golongan muda kita untuk menghentikan tunjuk perasaan di jalanan dan bersama kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian," katanya.

Bantahan besar-besaran yang bermula dua minggu lalu di bandar komersial Lagos, bertukar menjadi ganas.

Artikel Berkaitan:

Penunjuk perasaan menyerang balai polis, membebaskan tahanan di dua kemudahan penjara dan membakar sebuah stesen televisyen terkemuka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!