Gudang perabot, barangan elektrik terbakar

Gudang yang menjual perabot dan elektrik terbakar dalam kejadian awal pagi tadi di Jalan Lintas, Kepayan, Kota Kinabalu.
Gudang yang menjual perabot dan elektrik terbakar dalam kejadian awal pagi tadi di Jalan Lintas, Kepayan, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pemilik gudang menjual perabot dan elektrik terpaksa menanggung kerugian hampir RM5 juta selepas gudang itu terbakar dalam kejadian di Jalan Lintas Kepayan, dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, turut musnah akibat kebakaran itu adalah pejabat dan sebuah blok dua tingkat yang menempatkan lima lot kedai.

Pengurus gudang perabot yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, 50-an berkata, kejadian itu hanya disedari pihaknya selepas menerima panggilan daripada pekerja awal pagi tadi.

"Sebaik tiba, sebahagian kedai sudah terbakar tetapi tidak diketahui punca kebakaran.

"Kedai ini menjual perabot dan barang elektrik. Kerugian dianggarkan bernilai hampir RM5 juta," katanya di lokasi kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Jamaluddin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.33 pagi.

"Seramai 20 anggota bersama beberapa jentera dikejar ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, kebakaran melibatkan sebuah gudang perabot dan pejabat telah terbakar 100 peratus.

"Kebakaran juga membabitkan satu blok terdapat lima lot kedai dua tingkat jenis tidak kekal musnah 70 peratus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, usaha memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan sumber air tertutup dari pili bomba berhampiran.

"Api berjaya dikawal sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.26 pagi tadi.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, kebakaran tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa," katanya.

Katanya lagi, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan pihaknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!