Ugut cederakan ibu kerana tak masakkan mi segera
KUALA TERENGGANU - Seorang anak sanggup mengugut mahu mencederakan ibu kandungnya hanya kerana wanita itu tidak menyediakan mi segera kegemarannya.
Bagaimanapun, perbuatan biadab tertuduh, Mohd Shaiful Hazran Razali, 33, terbalas selepas Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadapnya.
Keputusan dibuat selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Faridah Ngah, 58, di sebuah rumah di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 21 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang ketika itu sedang berehat di rumah dihampiri Mohd Shaiful yang baru bangun daripada tidur sebelum meminta mangsa memasakkan sebungkus mi segera.
Bagaimanapun, mangsa memaklumkan stok mi itu sudah habis menyebabkan tertuduh naik angin dan berlaku pertengkaran mulut antara dua beranak itu sehinggakan mengugut mahu mencederakan mangsa dengan menumbuknya.
Mangsa yang ketakutan dan bimbang akan keselamatan dirinya pada masa akan datang dengan ugutan tersebut bergegas ke balai polis sebelum tertuduh ditangkap di rumahnya kira-kira jam 3.20 petang pada 24 Januari lalu.
Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan seorang lelaki mengamuk hanya disebabkan mi segera kegemarannya kehabisan ‘stok’, di rumahnya di Kuala Ibai, di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!