Perak yakin rangkul juara Piala Malaysia

Ahmad Faizal (empat dari kanan) bersama skuad kriket Perak pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Negeri Perak 2020 di Galasa Caldwell. - Foto Bernama
Ahmad Faizal (empat dari kanan) bersama skuad kriket Perak pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Negeri Perak 2020 di Galasa Caldwell. - Foto Bernama
A
A
A

PERAK optimis untuk muncul juara TM Piala Malaysia yang bakal memulakan saingan pada 6 November ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berkata, sasaran itu dianggap realistik berbekalkan persiapan dan latihan rapi yang direncanakan barisan kejurulatihan dalam memastikan skuad The Bos Gaurus membawa pulang piala berkenaan.

"Persiapan berjalan dengan amat baik dan saya berasa lega beberapa pemain utama yang tercedera telah sembuh dan kembali menjalani latihan penuh.

"Jadi apabila bermula kempen Piala Malaysia ini, saya yakin kita dapat berikan cabaran yang cukup hebat sekali gus membawa pulang piala ini ke Ipoh," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Negeri Perak 2020 di Galasa Caldwell di sini semalam.

Kali terakhir Perak menjulang Piala Malaysia adalah pada 2018 selepas menewaskan Terengganu FC 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor.

Terdahulu pada majlis itu, Ahmad Faizal menyampaikan insentif berjumlah RM31,000 kepada skuad kriket Perak selepas meraih kejuaraan pada Kejohanan Kriket MCA T20 dan T50 Over Liga Antara Negeri yang berlangsung dari 1 Februari hingga 27 September lalu.

Beliau berbangga dengan pencapaian itu kerana menamatkan kemarau 10 tahun skuad kriket negeri dalam menggenggam kejuaraan berkenaan yang turut disertai Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

"Walaupun mereka tidak dapat berlatih secara berpasukan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun mereka berjaya mengekalkan kecergasan dan persefahaman sekali gus memberi kejayaan kepada mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara skuad hoki Perak yang memenangi Kejohanan Hoki Piala Tun Razak buat kali ke-10 pada 27 September lalu menerima insentif berjumlah RM35,000.

“Pasukan hoki bukan sahaja membawa pulang trofi untuk kali ke-10 dan lebih manis lagi, bintang kita Muhamad Haziq Samsul dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas mencatat jaringan hatrik,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!