Bomba KL tingkat pemeriksaan pusat membeli belah, hotel
KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur meningkatkan lagi pemeriksaan keselamatan kebakaran di lokasi tumpuan seperti pusat membeli-belah dan hotel sekitar ibu negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini.
Pengarahnya Nordin Pauzi berkata, kesemua 18 balai bomba di Kuala Lumpur diarah meningkatkan pemeriksaan bagi memastikan peralatan keselamatan kebakaran seperti alat pemadam api, pintu rintangan api dan sistem pencahayaan semasa kecemasan sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Kami dapati ada pusat membeli-belah yang mengabaikan aspek keselamatan kebakaran terutama ketika proses jualan murah diadakan. Denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara mengikut Akta Bomba boleh dikenakan terhadap pusat membeli-belah atau premis yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2019 di Plaza Tol Sungai Besi di sini, hari ini, Nordin berkata rondaan di jalan-jalan utama juga akan ditingkatkan bagi memastikan ‘response time’ ke lokasi kemalangan dapat ditingkatkan.
“Satu jentera bomba juga akan ditempatkan pada waktu puncak di plaza-plaza tol yang dikenalpasti,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!