Pamer tanda merah jambu pada barangan kawalan
KLUANG – Peniaga di negeri ini diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga kawalan sempena Tahun Baharu Cina ini.
Exco Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Dr S Ramakrishnan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah menetukan 12 jenis barangan kawalan sempena Tahun Baharu Cina ini.
“Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina 2019 ini akan bermula dari 30 Januari hingga 8 Februari 2019 dan skim ini dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Antara harga barangan yang dikawal ialah ayam, telur ayam (gred A, B, C), daging babi, sayur-sayuran seperti kubis bulat import, bawang putih, ikan bawal putih dan udang putih besar,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita semasa Majlis Pelancaran SKHMP Tahun Baharu Cina 2019 Peringkat Negeri Johor di Pasar Raya Econsave, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah KPDNHEP Johor, Khairul Anwar Bachok; Pengurus Operasi Pasar Raya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam dan Ketua Cawangan KPDNHEP Kluang, Mohd Zulazre Mokeri.
Menurutnya, dalam usaha untuk melindungi pengguna, keberadaan pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga akan ditingkatkan di tempat-tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai.
“Antaranya, pegawai pemantau harga akan menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas di seluruh negeri Johor dan Friends Of KPDNHEP (FOK) juga akan menjadi mata dan telinga berhubung isu kepenggunaan.
“KPDNHEP juga telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan dan kita turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (Star),” katanya.
Pada masa sama, peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini dan melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan 2011.
Sementara itu, Khairul Anwar berkata, sepanjang bulan ini sahaja, KPDNHEP Johor telah berjaya menyelesaikan beberapa kes seperti rampasan barangan tiruan dan melakukan 50 tangkapan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM390,071.
"Jumlah rampasan sepanjang Januari ini memang meningkat berbanding tahun lalu, kerana pada tahun lalu nilai rampasan kita hanya sebanyak kira-kira RM500,000 sahaja dan ini membuktikan penguat kuasa kita sentiasa bergerak di seluruh negeri ini.
"Selain itu, sehingga kini kita telah mengeluarkan tujuh kompaun di seluruh negeri ini dengan nilai sebanyak RM1,400 dan kita juga telah memeriksa sebanyak 3,239 premis perniagaan dan kami memang bekerja keras bagi memastikan hak pengguna dan keadaan barangan di pasaran berada dalam keadaan terkawal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!