Liverpool kena lupakan van Dijk
GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool perlu melupakan pertahanan kental mereka, Virgil van Dijk dan terus fokus kepada perlawanan akan datang.
Bekas pemain Liverpool, Steve Nicol berkata, kecederaan van Dijk itu tidak harus dijadikan alasan oleh The Reds sekiranya mereka gagal meraih keputusan yang baik dalam sesuatu perlawanan.
"Mereka perlu memastikan tidak menggunakan kehilangan Van Dijk sebagai alasan. Kalau pemain atau staf pasukan menggunakan alasan adanya van Dijk keputusan sesuatu perlawanan akan berbeza, maka mereka akan tenggelam sehingga akhir musim.
"Ketika kehilangan pemain penting, sesebuah pasukan perlu melupakannya dan fokus kepada perlawanan akan datang. Jika tidak anda akan berdepan masalah yang besar dalam pasukan," katanya.
Liverpool kehilangan van Dijk untuk tempoh yang lama akibat kecederaan lutut ketika menentang Everton minggu lalu dan dijangka perlu berehat panjang sehingga lapan bulan.
Penyandang juara EPL itu akan menanti kunjungan Sheffield United dalam aksi liga awal pagi Ahad ini dan Nicol melihat ia sebagai ujian untuk melihat sama ada Liverpool sudah boleh menerima kehilangan van Dijk.
"Tidak salah untuk sedih kerana kehilangan pemain penting sepertinya tetapi Liverpool kena 'move on'. Bukan merengek kehilangan sebaliknya perlu bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
"Melupakan khidmatnya buat seketika adalah satu tindakan yang profesional dan cuba membentuk seorang pemain pertahanan yang bagus dalam beberapa bulan ini. Ia cara terbaik.
"Jika tidak, semua orang akan membuat alasan kecederaan van Dijk sekiranya gagal meraih keputusan positif dalam perlawanan. Saya tahu situasi tersebut kerana saya juga seorang pemain bola sepak dan sudah banyak kali melihat alasan sebegitu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!