Juruteknik cedera langgar bangkai babi
KUALA SELANGOR - Seorang juruteknik cedera pada bahagian dagu, patah gigi dan luka tangan serta kaki selepas motosikal ditunggangnya terlanggar bangkai babi di Kilometer 4.4 Lebuhraya Kuala Lumpur- Kuala Selangor awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Mohamad Azharil Mohamad Anim, 26, dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Kuang ke rumahnya di Kampung Bukit Cherakah.
Ibunya, Sawrijana Yukiman, 50, berkata, dia hanya mengetahui anaknya itu terlibat dalam kemalangan selepas dihubungi pihak polis.
"Saya terus ke tempat kejadian dan mendapati anak berada di dalam ambulans dan menumpang kenderaan itu yang kemudiannya menuju ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya
Bagaimanapun, Sawrijana bersyukur apabila anak kedua daripada lima beradik itu selamat dalam kejadian itu.
"Saya lega apabila anak saya selamat dan hanya mengalami kecederaan serta luka kecil," katanya.
Dalam pada itu, Sawrijana berharap agar pihak konsesi lebuh raya dapat menyediakan kemudahan lampu jalan di kawasan itu kerana ia boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
"Keadaan jalan gelap antara punca berlakunya kemalangan dan berharap masalah ini dapat diatasi kerana kita tidak mahu kejadian sama berulang.
"Selain itu, kami juga bimbang kehadiran haiwan liar seperti babi hutan melintas terutama pada waktu malam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!