Tujuh jeti di Kudat ditutup, bekalan ikan kurang

Kapal nelayan tersadai di salah satu jeti di sekitar Pekan Kudat selepas operasi pusat pengumpulan ikan ditutup sejak Selasa lalu susulan Kluster Basung di Kudat.
Kapal nelayan tersadai di salah satu jeti di sekitar Pekan Kudat selepas operasi pusat pengumpulan ikan ditutup sejak Selasa lalu susulan Kluster Basung di Kudat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kira-kira tujuh jeti yang dijadikan pusat pendaratan bagi kapal pukat jerut di sekitar Pekan Kudat ditutup susulan Kluster Basung yang disenaraikan sebagai kluster baharu di Kudat.

Penutupan jeti itu menyebabkan bekalan ikan kini terhad di Kudat dan difahamkan juga tidak dapat dihantar ke kawasan Kota Kinabalu sehingga Beaufort.

Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan Kudat, Selamat Zulkifli berkata, jeti itu ditutup sejak Selasa lalu sehingga 4 November depan selepas menerima notis daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Penutupan ini sekali gus menyebabkan operasi tangkapan dan pemunggahan ikan oleh nelayan pukat jerut terhenti sementara. Biasanya, kapal nelayan akan membekalkan sehingga 10 tan ikan untuk pasaran tempatan sehingga ke Kota Kinabalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya lagi, hanya bot nelayan pesisir pantai yang kini beroperasi melalui jeti sekitar kampung tetapi tidak mampu menampung permintaan untuk pasaran di Kota Kinabalu.

"Bekalan yang ada sekarang hanya terhad untuk penduduk sekitar Kudat dan saya difahamkan penduduk sukar mendapatkan bekalan ikan," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga ikan di Kota Kinabalu, Abdul Sakir Abdul Majid, 28, berkata, mungkin mereka terpaksa mendapatkan bekalan ikan sejuk beku di sekitar daerah ini sekiranya tiada bekalan dari Kudat.

Artikel Berkaitan:

Notis perintah tutup pasar ikan Kudat.
Notis perintah tutup pasar ikan Kudat.

"Bekalan ikan saya hari ini sudah habis. Kalau malam ini tidak dapat ambil dari Kudat, kemungkinan terpaksa menggunakan alternatif lain dengan mendapatkan bekalan ikan sejuk beku sekitar Kota Kinabalu.

"Tetapi biasanya pelanggan mahu ikan segar," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan Kluster Basung dan Kluster Inai dikenal pasti sebagai kluster baharu di Kudat.

Kluster Basung membabitkan peniaga ikan di Kudat dan setakat ini sebanyak 19 kes positif dilaporkan berkaitan kluster itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!