Pengunjung mohon Taman Persekutuan Bukit Kiara dibuka semula
KUALA LUMPUR - Penduduk dan pengunjung Taman Persekutuan Bukit Kiara berharap Jabatan Landskap Negara (JLN) menarik balik arahan penutupan kawasan itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Penduduk Taman Tun Dr Ismail, Datuk Roslina Zainal, 58, berkata, pihaknya dimaklumkan penutupan dilakukan atas faktor kekurangan petugas untuk melaksanakan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan itu.
Bagaimanapun menurutnya, beliau yang ke taman itu sekurang-kurangnya tiga kali seminggu yakin pengunjung yang beriadah di kawasan itu memahami kepentingan SOP yang ditetapkan.
"Saya dapati pengunjung di sini prihatin aspek SOP dan pengawal keselamatan turut lakukan pemeriksaan suhu.
"Sepatutnya, taman ini boleh dibuka pada hari biasa kerana orang tidak ramai, pada hari minggu pun sepatutnya tiada masalah kerana kawasan ini luas, saya yakin penjarakkan fizikal masih boleh diamalkan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Katanya, pentingnya taman ini dibuka kerana ia baik untuk kesihatan mental.
"Biasanya saya ke sini untuk amalkan saranan kesihatan dengan melakukan aktiviti 10,000 langkah sehari.
"Taman ini memberi ruang untuk kami beriadah dan berjumpa kawan daripada duduk di rumah saja. Ia baik untuk kesihatan mental, " katanya.
Orang awam, Nur Azimah Nor Azlan, 23, berkata, dia meminta JLN selari dengan arahan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan pengguna.
"Keputusan MKN membenarkan taman awam dibuka pastinya telah mengambil kira pelbagai faktor. Saya yakin orang awam memahami SOP yang ditetapkan.
"Pada saya gimnasium lebih berisiko terkena jangkitan berbanding taman awam kerana berkongsi peralatan dan kawasannya tertutup," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Syed Putra Syed Abdul Kadir, 59, berkata, dia bersetuju jika taman tersebut dibuka untuk orang ramai bagi mendapat faedah kesihatan.
"Akan tetapi, jika ramai sangat berkunjung, ia menghilangkan faedah tersebut.
"Jadi demi menjaga kesihatan, agar tidak mendedahkan diri dan orang-orang Taman Tun Dr Ismail kepada pandemik Covid-19 yang berleluasa saat ini, lebih baik ia ditutup," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Taman Persekutuan Bukit Kiara ditutup berdasarkan SOP MKN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!