Bukit Larut bakal berwajah baharu
TAIPING - Pusat peranginan Bukit Larut di sini bakal berwajah baharu tahun hadapan setelah satu projek menaik taraf beberapa kemudahan lokasi popular itu bernilai RM3 juta akan dilaksanakan bermula Mac ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, pihaknya kini menumpukan kepada projek pembinaan semula gerai makan, surau, pintu gerbang, tempat parkir kenderaan, kaunter tiket dan tapak ruang menunggu.
Beliau turut menekankan dua rumah banglo iaitu Angkasa dan Beringin serta rumah rehat Bukit Larut, rumah rehat Hijau, rumah rehat Sri Permai dan rumah rehat Tempinia juga bakal dinaik taraf.
"Pihak perunding cara sudah menyiapkan pelan reka bentuk projek menaik taraf Bukit Larut yang juga lebih dikenali sebagai Maxwell Hill dalam kalangan pengunjung luar negara.
"MPT menjangkakan tender bagi projek itu akan dikeluarkan pada Februari ini sebelum dilaksanakan Mac. Tempoh menyiapkan keseluruhan projek menaik taraf dijangka mengambil masa 12 bulan, " katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MPT di sini hari ini.
Abd Rahim berkata, inisiatif memastikan pusat peranginan Bukit Larut tampil segar berwajah baharu amat penting dalam usaha meningkatkan jumlah kehadiran pengunjung ke lokasi itu.
Menurutnya, jumlah keseluruhan 27,311 pelancong mengunjungi Bukit Larut sepanjang tahun 2018 dilihat mengalami sedikit penurunan lima peratus berbanding pelancong tahun sebelumnya.
"Faktor penurunan kehadiran pelancong dipengaruhi musim hujan pada tahun lalu yang sekaligus menjejaskan kehadiran pengunjung pada musim cuti sekolah," katanya.
Selain itu, Abdul Rahim menjangkakan sistem tempahan tiket secara atas talian akan dibuka semula kepada pengunjung bermula bulan Mei ini.
Menurutnya, inisiatif tambahan itu dibuat susulan MPT sudah mendapat peruntukan sebanyak RM190,000 daripada kerajaan negeri untuk membeli dua lagi kenderaan pacuan empat roda (4x4) bagi kemudahan pengunjung.
"Dengan tambahan dua lagi kenderaan 4x4 daripada enam Land Rover yang beroperasi membawa pengunjung ke Bukit Larut, kita yakin mampu menyediakan tempahan 20 atas talian untuk 20 pengunjung setiap hari," katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim menjelaskan pihak pengurusan Zoo Taiping masih belum memutuskan jenis haiwan bakal ditukarkan dengan haiwan dari Zoo Fukuoka dari Jepun susulan pemeteraian kerjasama di antara dua zoo itu disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini.
Menurutnya, pihak pengurusan Zoo Taiping diberi tempoh setahun bagi menyelesaikan perjanjian pertukaran haiwan dengan Zoo Fukuoka.
"Pengurusan Zoo Taiping mungkin akan meninjau dahulu jenis haiwan bersesuaian untuk ditukar dengan haiwan jagaan dari Zoo Fukuoka dan perkara ini pastinya mengambil sedikit masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!