'Tolong doakan anak-anak kami'

Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dilihat mendapatkan maklumat pelajar yang akan dibawa menaiki bas Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan hari ini.
Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dilihat mendapatkan maklumat pelajar yang akan dibawa menaiki bas Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - "Tolong doakan anak-anak kami". Itu harapan dan permintaan ibu bapa pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Senawang Industrial Park, di sini apabila seramai 60 pelajar termasuk kakitangan di situ disahkan positif Covid-19.

Tinjauan Sinar Harian di sekolah berkenaan hari ini mendapati, ibu bapa yang datang untuk menghantar barang kepada anak mereka hanya mampu melambaikan tangan dari jauh selepas meninggalkan barang di atas meja di luar pagar bangunan.

Bapa pelajar Abdul Rauf Abdul Rahman, 44, berkata, dia pada mulanya terkejut apabila diberitahu terdapat kes di sekolah itu, namun memilih untuk bertenang namun isterinya tetap menangis.

"Terkejutlah... tapi kes ini satu dunia. Anak saya di Tingkatan Tiga dan tadi dia beritahu deria baunya mula hilang. Tapi ujian saringan pertama dilakukan adalah negatif, yang kedua pula keputusannya belum keluar lagi.

"Apa yang dapat kita buat sekarang adalah berdoa dan terus beri semangat, minta anak-anak bersabar," katanya yang tinggal di Rawang, Selangor.

Ibu bapa penjaga dilihat berada di luar pagar sekolah selepas menghantar barang kepada anak mereka di STIAS, Senawang hari ini.
Ibu bapa penjaga dilihat berada di luar pagar sekolah selepas menghantar barang kepada anak mereka di STIAS, Senawang hari ini.

Menurutnya, apa sahaja keputusannya semua kena reda dan menghadapinya bersama-sama.

Seorang lagi bapa pelajar, Sofian Sharifbudin, 47, dari Ampang, Kuala Lumpur berkata, dia risau dengan keadaan anaknya, lebih-lebih lagi apabila keputusan saringan Covid-19 dilakukan anaknya pada Selasa lalu adalah positif.

Artikel Berkaitan:

"Kali terakhir saya jumpa dia pun pada awal bulan ini apabila dia pulang ke rumah. Sekarang ini dia kuarantin diri di asrama sekolah dan keadaannya baik-baik sahaja. Anak saya beritahu buat masa ini pelajar yang positif diasingkan," katanya.

Menurutnya, dia sempat berbual dengan anaknya pagi tadi dan menasihatkannya supaya menjalani kuarantin seperti disyorkan oleh pihak hospital.

Ambulans KKM dirakam keluar dari pekarangan STIAS hari ini.
Ambulans KKM dirakam keluar dari pekarangan STIAS hari ini.

"Tolonglah doakan anak-anak kami semuanya selamat," katanya.

Ibu pelajar, Roziati Ismail, 47, pula berkata, sehingga kini dia masih takut untuk menunggu keputusan saringan anaknya yang berusia 17 tahun.

"Masa mula-mula saya memang tak boleh terima kerana terlalu risau. Tapi bila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dah datang ke sekolah buat saringan dan anak pun sihat, saya sedikit lega.

"Sepatutnya hujung bulan ini dia balik, tapi dah jadi macam ini pula. Kita pun tak tahu macam mana sebenarnya kes ini boleh ada di sekolah.

"Benda dah jadi, kita tawakal dan berdoalah," katanya.

Pelajar STIAS bersedia untuk dibawa menaiki bas Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dipercayai untuk ke pusat kuarantin hari ini.
Pelajar STIAS bersedia untuk dibawa menaiki bas Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dipercayai untuk ke pusat kuarantin hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Memang betul ada pelajar positif Covid-19 di sekolah itu'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!