Cubaan lolos diri: Akhirnya kereta dipandu terbalik
![Kereta dipandu suspek terbalik selepas terbabas dalam insiden kejar-mengejar.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2019/01/31/171396.jpg)
KUALA LUMPUR - Cubaan nekad seorang lelaki yang enggan memberhentikan kenderaannya untuk meloloskan diri sehingga melanggar polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengundang padah.
Lelaki berusia 31 tahun itu akhirnya berjaya diberkas di Flat Taman Bukit Angsana, Cheras di sini, hari ini, selepas insiden kejar-mengejar.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi, phaknya telah terima maklumat berhubung kejadian curi kenderaan sebelum sepasukan polis daripada Unit MPV dan URB cuba untuk menahan suspek.
Menurutnya, suspek yang memandu kereta Proton Perdana V6 telah diarah untuk berhenti, namun tidak diendahkan suspek sebelum terus memecut hingga melanggar seorang anggota URB Balai Batu 9 Cheras.
“Anggota terbabit telah terbabas hingga mengalami kecederaan di kaki kiri. Suspek turut merempuh beberapa kenderaan milik orang awam serta sebuah kedai di flat terbabit.
“Akibat dari pelanggaran itu, kereta dipandu suspek kemudiannya terbalik sebelum berjaya ditahan,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad Dzaffir berkata, anggota polis turut melepaskan tiga das tembakan untuk mempertahankan diri dalam kejadian itu.
Katanya, siasatan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau dan satu daripadanya masih berstatus ‘wanted’ bersabit kes dadah.
“Siasatan mendapati kereta dipandu suspek juga merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang bersabit laporan di Pandan Indah. Suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03- 89114222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Zazali Kenek di talian 019-7100662.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!