Jangan biarkan gangguan bekalan air terus berulang
KUALA SELANGOR - Penduduk di Kampung Bukit Kerayong di sini berharap masalah gangguan bekalan air yang kerap berlaku di negeri ini tidak kembali berulang hingga menjejaskan rutin harian penduduk.
Seorang peniaga kedai makan, Aziah Parini, 44, berkata, masalah itu memberi kesan kepada operasi perniagaan yang diusahakannya sejak 15 tahun lalu.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu menyelesaikan masalah itu segera bagi memastikan penduduk tidak dibebani masalah sama yang berlarutan sejak sekian lama.
"Masalah ini amat menghantui penduduk dan berharap ada jalan penyelesaian terbaik," katanya kepada Sinar Harian.
Aziah berkata, bekalan air kampung itu mula terganggu sejak pagi Ahad lalu, bagaimanapun kembali pulih pada kira-kira jam 6 pagi semalam.
Menurut Aziah, masalah gangguan bekalan itu kembali berulang pada jam 9 malam tadi dipercayai akibat saluran paip pecah.
"Saya risau sebab tidak sampai 24 jam terima bekalan air, tiba-tiba bekalan terputus hingga merisaukan saya yang sudah bersedia menyediakan bahan untuk memasak.
"Alhamdulilah, saya bersyukur kerana air kembali pulih jam 5 pagi tadi dan saya dapat membuka kedai seperti biasa," katanya.
Selain itu, katanya, ketiadaan air menyebabkan sumber pendapatannya merosot.
"Saya juga terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan memasak dan mencuci pinggan mangkuk dan ini sekali gus meningkatkan kos operasi," katanya.
Bekas Imam Masjid At-Tohiroh Kampung Bukit Kerayong, Mohd Mansor Sarham, 72, berkata, meskipun masjid mempunyai tangki simpanan, namun bekalan tidak mencukupi sekiranya bekalan mengambil tempoh masa lama untuk dipulihkan.
Ujar Mohd Mansor, ketiadaan air menyukarkan operasi masjid hingga pernah berlaku jemaah terpaksa menggunakan air parit untuk mengambil wuduk.
Katanya, kejadian yang berlaku kira-kira tiga tahun lalu itu diharap tidak lagi berulang hingga menyukarkan penduduk menerima bekalan air.
"Tapi, sekarang ini saya percaya lori tangki akan menyediakan bekalan untuk menangani masalah ketiadaan air," katanya.
Seorang penduduk Mohd Akhir Kasah, 66, berkata, ketiadaan air bukan sahaja dirasai penduduk, malah memberi kesan kepada tanaman dan haiwan peliharaan.
Katanya, dia sendiri berdepan risiko tanaman kontan yang diusahakannya rosak selain ternakan yang memerlukan air mencukupi.
"Kalau sehari atau dua hari kami masih boleh bersabar, tapi bayangkanlah jika masalah ini berterusan selama lima hingga ke enam hari?" katanya.
Semalam, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, semua 1,292 kawasan di tujuh daerah yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang sudah pulih sepenuhnya jam 6 pagi semalam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!