Polis bantuan LDP berjaya selamatkan Pebbles

Anggota polis bantuan berjaya selamatkan seekor anjing di Lebuhraya LDP kelmarin.
Anggota polis bantuan berjaya selamatkan seekor anjing di Lebuhraya LDP kelmarin.
A
A
A

SHAH ALAM - Sepasukan anggota polis bantuan Lebuhraya Damansara -Puchong (LDP) berjaya menyelamatkan seekor anjing yang mempunyai masalah penglihatan daripada dilanggar dengan kenderaan lain di lebuh raya itu kelmarin.

Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan Litrak, Shah Rizal Mohamed berkata, pihaknya mengesan anjing tersebut berlari di lebuh raya berkenaan.

"Pasukan terlibat segera bertindak mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) untuk menyelamatkan anjing itu daripada dilanggar kenderaan lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Shah Rizal berkata, beliau telah dimaklumkan anjing yang dikenali sebagai Pebbles itu dilaporkan hilang di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini.

"Kita telah menghubungi pemilik anjing tersebut melalui aplikasi WhatsApp dan perkongsian di media sosial," katanya.

Beliau berkata, pemilik anjing peliharaan tersebut turut berkongsi di Facebook memaklumkan bahawa polis bantuan LDP telah membantu menghalang laluan trafik untuk menyelamatkan anjingnya.

"Beliau berterima kasih dengan semua pihak yang telah membantunya mencari anjing peliharaannya, walaupun mereka tidak saling mengenali," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!