Kilang dikesan buang sisa ke longkang
RAWANG - Sebuah kilang di kawasan Perindustrian Kundang di sini dikesan melepaskan sisa minyak sawit ke longkang awam yang disalirkan ke Sungai Kundang.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, situasi itu dikesan ketika operasi pemantauan bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
LUAS sebelum itu menerima aduan pencemaran bahan biodiesel yang mencatatkan bacaan melebihi 10 ton pada aliran ke sungai tersebut.
Menurutnya, MPS mengarahkan kilang tersebut menjalankan kerja-kerja pembersihan takungan sisa minyak tersebut di bawah notis kacau ganggu (Seksyen 82) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
"Kegagalan mematuhi notis yang diberikan itu boleh menyebabkan kilang itu ditutup operasi selain penarikan lesen.
"Dalam operasi sama LUAS turut mengeluarkan surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 untuk premis itu menghentikan discaj efluen serta merta dan melaksanakan tindakan pembersihan segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengingatkan pemilik premis mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi mengelak isu pencemaran berulang dan dikenakan tindakan.
"MPS akan lebih agresif melakukan pemantauan berterusan dan mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Terdahulu, Exco Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian memaklumkan LUAS mengesan pencemaran bau sehingga 10 ton di Sungai Kundang sewaktu melakukan pemantauan Ops Statik secara 24 jam di Sungai Gong, semalam.
Tindakan pantas berjaya mengelakkan berlaku gangguan air tidak berjadual dan henti tugas di Loji Pembersihan Air (LPA) di Selangor.
ARTIKEL BERKAITAN: LUAS atasi dua insiden pencemaran, berjaya elak henti tugas LPA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!