Bukan aksi luar biasa tetapi paling selamat

Jose Mourinho - Foto Getty Images
Jose Mourinho - Foto Getty Images
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Jose Mourinho memuji kekuatan dalaman dalam kalangan pemain The Spurs ketika berdepan kelab Austria, LASK pada saingan Liga Europa di Stadium Tottenham Hotspur walaupun beliau melakukan rombakan terhadap kesebelasan utama kelab itu.

Menurut pengendali berusia 57 tahun dari Portugal itu, pemain-pemain kelab berpusat di London berkenaan telah mempamerkan karakter kesiapsiagaan tinggi bagi berdepan jadual padat musim ini.

“Sejujurnya saya amat gembira dengan kemenangan aksi pertama saingan peringkat kumpulan pada hari ini. Tiga mata ini membuktikan bahawa kepercayaan dan kerjasama dalam kalangan pemain Tottenham adalah tinggi.

“Pemain-pemain yang diberikan tanggungjawab pada perlawanan ini berjaya menyempurnakannya dengan baik hasil kerja keras dan sentiasa dalam mood bersedia bermain.

“Kelazimannya saya tidak akan melakukan rombakan dalam kesebelasan utama pemain, terutamanya perlawanan pertama peringkat kumpulan yang begitu penting. Ini bukan persembahan luar biasa tetapi padu dan selamat,” katanya.

Tottenham memulakan kempen liga tahap dua berprestij Eropah itu dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Die Schwarz-Weiben kendalian Dominik Thalhammer berkenaan.

Tuan rumah tampil memulakan kempen pesta gol bermula jaringan Lucas Moura pada minit ke-18 sebelum gol sendiri pemain tuan rumah minit ke-27, Andrés Andrade menjadikan kedudukan 2-0 babak pertama.

Bintang Korea Selatan Heung-Min Son yang dimasukkan pada babak kedua tidak ketinggalan mencipta nama sebagai penjaring dengan gol minit ke-84', seterusnya meletakkan anak buah Mourinho di puncak liga peringkat kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Jelas Mourinho lagi, beliau terpaksa melakukan percaturan baharu kerana tidak mahu pemain-pemain Tottenham berdepan risiko kecederaan berikutan jadual padat.

“Saya sebenarnya sukar untuk tidak menurunkan kesebelasan pemain utama pada perlawanan penting ini, namun saya tekadkan keputusan merombak setelah mengambil kira pengalaman musim lalu yang menyaksikan pemain dibelenggu kecederaan berpanjangan.

“Biarpun begitu tentu sahaja saya dapat merasakan bagaimana dengan emosi pemain-pemain yang kebiasaannya diturunkan tapi kini tidak diturunkan tentunya mengecewakan apa lagi sekiranya masing-masing mempunyai minit perlawanan yang konsisten setiap perlawanan sebelum Ini.

“Musim lalu saya mempunyai banyak masalah tanpa kekuatan jentera serangan dan sokongan bahagian sayap akibat kecederaan.

“Tapi sekarang kami mempunyai skuad luar biasa ini dan dengan pengecualian beberapa perkara daripada UEFA musim ini, saya melihat ke sisi positif kerana mempunyai begitu banyak pilihan,” katanya.

Pada perlawanan itu, Mourinho hanya mengekalkan Davinson Sanchez, Ben Davies dan Sergio Reguilon dalam kesebelasan utama ketika menentang West Ham United pada Ahad.

Pada masa sama bekas pengendali Manchester United itu percaya Tottenham akan memperoleh kemenangan lebih selesa pada perlawanan tersebut sekiranya dengan kehadiran penyokong.

“Ya, kita mampu mencetak lebih banyak gol, tetapi ini bukan permainan kalah mati atau timbal balik tetapi mengenai tiga mata. Saya percaya dengan penyokong di stadium, pemain akan menjadi lebih teruja kerana penyokong akan mendorong pemain mempamerkan aksi bertenaga,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!