Serah memorandum bantah larangan pembesar suara masjid, surau
GEORGETOWN - Lebih 30 ahli daripada Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang mengadakan demonstrasi aman bagi membantah larangan penggunaan pembesar suara di masjid dan surau di negeri ini.
Larangan itu didakwa dimaklumkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) dalam satu surat pekeliling baru-baru ini.
Setiausaha Gabungan NGO Islam Pulau Pinang, Ahmad Yakqub Nazri berkata, satu memorandum akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 26 Oktober ini yang akan diwakili Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung
“Kita pernah menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara sama pada Oktober 2015,” katanya ketika ditemui di hadapan kediaman Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Seri Mutiara di sini tadi.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman
Terdahulu, Ahmad Yakqub turut menyampaikan memorandum kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman dan diterima oleh Setiausaha Sulitnya, Mohd Abdul Rahman Ismail.
Pekeliling yang bertarikh 15 Oktober itu memaklumkan pembesar suara luar hanya dibenarkan untuk kegunaan azan dan iqamah, manakala pembesar suara dalam boleh digunakan untuk solat dan kuliah agama.
Surat yang ditandatangani Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Mohd Zakuan Zakaria itu turut memandang serius penggunaan kembali pembesar suara dan memohon pihak terbabit memberi perhatian yang sewajarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman menafikan dakwaan menguatkuasakan larangan baharu berhubung penggunaan pembesar suara di masjid dan surau.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang berkata, Pekeliling yang dikeluarkan JHEAINPP itu sebagai peringatan kepada beberapa masjid yang kembali memasang pembesar suara pada waktu yang dilarang.
“Pekeliling itu untuk menjelaskan dan mengingatkan keputusan kita sebelum ini. Tiada peraturan baharu.
“Ini kerana, sejak kebelakangan ini dilaporkan terdapat beberapa masjid dan surau yang sebelum ini mengikut peraturan, kembali memasang pembesar suara,” katanya ketika dihubungi tadi.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang pada 2015 memutuskan bahawa pembesar suara di luar masjid dan surau hanya dibenarkan bagi kegunaan azan dan iqamah saja.
Perkara itu mengundang kemarahan ramai pihak termasuk NGO yang menyifatkan ia sebagai keputusan politik kerajaan negeri.
Bagaimanapun pada 2016 Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang memutuskan tidak akan mewartakan fatwa larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid selepas mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak yang didakwa tidak memahami secara menyeluruh fatwa yang sebelum ini hendak diwartakan itu.
Difahamkan, isu larangan penggunaan pembesar suara di masjid dan surau yang sudah diwartakan tidak diketahui oleh orang awam dan wakil media di Pulau Pinang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!