Penggiat pelancongan lega Taman Negara kembali dibuka

Gotong-royong memasang penanda penjarakan fizikal di Canopy Walkway hari ini.
Gotong-royong memasang penanda penjarakan fizikal di Canopy Walkway hari ini.
A
A
A

JERANTUT - Selepas dua minggu dilanda keresahan, penggiat pelancongan di Taman Negara, Kuala Tahan kini mampu menarik nafas lega apabila taman eko pelancongan terkenal itu kembali dibuka kepada pengunjung bermula hari ini.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di laman Facebook milik jabatan itu semalam mengumumkan Taman Negara, Kuala Tahan dan Sungai Relau kembali dibuka bermula 23 Oktober kepada pengunjung selepas ditutup sementara waktu sejak 6 Oktober lalu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Taman Negara, Leftenan Komander (Bersara), Mohd Abdul Rani Harun berkata, pengumuman itu merupakan satu berita gembira buat pengusaha sepertinya yang turut terjejas dengan arahan tersebut sebelum ini.

Mohd Abdul Rani Harun
Mohd Abdul Rani Harun

Menurutnya, walaupun terpaksa berdepan dengan kerugian, namun pembukaan kembali Taman Negara amat ditagih kerana pendapatan mereka bergantung dengan kehadiran pelancong.

"Syukur kerana ia akhirnya dibuka, cuma untuk kami nak dapatkan momentum kehadiran pelancong seperti sebelum ini agak sukar selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disusuli dengan penutupan sementara.

"Bagaimanapun sudah ada pelancong yang mendaftar masuk dan saya berharap situasi ini segera pulih sebelum Taman Negara kembali ditutup kerana musim tengkujuh," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan, Mohd Abdul Rani berkata, pihaknya mengharapkan mendapat kerjasama daripada semua pihak agar proses operasi dapat berjalan dengan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mereka yang menginap di bilik, sanitasi akan dilakukan setiap kali pengunjung keluar, selain pengambilan suhu badan, maklumat dan pemakaian pelitup muka," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara, Mohamad Anas Zainudin mengakui mengalu-alukan pengumuman itu dan berterima kasih kepada semua pihak selepas punca pendapatan kira-kira 170 ahlinya terjejas teruk sepanjang tempoh penutupan tersebut.

Mohamad Anas (kiri) turut turun padang dalam melakukan aktiviti gotong-royong memasang penanda penjarakan fizikal di Canopy Walkway hari ini.
Mohamad Anas (kiri) turut turun padang dalam melakukan aktiviti gotong-royong memasang penanda penjarakan fizikal di Canopy Walkway hari ini.

"Sebagai tanda menghargai pengumuman itu, kami telah bekerjasama dengan Perhilitan untuk mengadakan aktiviti gotong-royong meletakkan lebih banyak penanda penjarakan fizikal di beberapa kawasan tumpuan di sini terutamanya di 'Canopy Walkway'.

"Sabtu ini kami akan menerima kumpulan pertama pelancong datang ke sini dan menjangkakan keadaan akan kembali rancak minggu depan," jelasnya.

Bagi aktivis pelancongan yang juga ahli Bird Group Taman Negara, Sabri Abdullah nyata gembira dengan pengumuman itu dan menyifatkan rayuan mereka didengari pihak berwajib sekaligus memberikan peluang kepada mereka yang berkaitan untuk kembali meraih sumber pendapatan selepas berdepan situasi sukar sepanjang tempoh terbabit.

Sabri
Sabri

ARTIKEL BERKAITAN: Taman Negara Pahang dibuka semula hari ini

Pengusaha rayu buka kembali Taman Negara

Covid-19: Taman Negara Kuala Tahan ditutup sementara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!