Cabaran skuad takraw negara
PENGARAH Teknikal Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Abdul Talib Ahmad mengakui pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini memberikan kesan besar kepada prestasi barisan pemain negara.
Beliau memberitahu, kebanyakan pemain terutamanya pemain muda tidak dapat mengikuti sebarang kejohanan di luar negara yang menjadi medan terbaik untuk menilai prestasi, mengasah bakat serta pengalaman kepada mereka.
"Apabila kejohanan antarabangsa tak ada, mestilah banyak kesannya kepada para pemain. Apabila ada kejohanan luar negara, kita boleh menilai tahap prestasi mereka dan ia akan menjadi penunjuk utama kepada kelemahan yang ada.
"Tetapi apabila dah tak ada kejohanan antarabangsa, penilaian itu sedikit terganggu. Kalau waktu sekarang ini biasanya kita dah pergi ke Thailand menyertai beberapa kejohanan di sana.
"Macam mana pun kita kena sesuaikan diri dengan keadaan sekarang ini. Memanglah kalau boleh saya mahu ada perlawanan di luar negara, tetapi soal kesihatan paling utama," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Dalam pada itu, Abdul Talib hanya dapat mengharapkan saingan Liga Sepak Takraw (STL) sebagai platform penilaian utama dan pendedahan terbaik buat barisan pemain negara.
"STL sudah tentu menjadi medan utama untuk melihat perkembangan pemain. Selain itu, beberapa perancangan program juga terpaksa diubah dengan latihan sparring sesama sendiri mengikut prosedur operasi standard (SOP).
"Jika Covid-19 ini masih belum reda sehingga tahun depan, kami juga sudah ada perancangan seperti mengadakan perlawanan antara pasukan senior dan muda atau mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab dalam negara.
"Tetapi bagi saya pemain muda ini perlu diberikan tumpuan yang lebih. Macam pemain senior, mereka dah ada banyak pengalaman bermain di luar negara. Pemain muda perlu beri lebih banyak pendedahan untuk memastikan permainan mereka matang," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau memberitahu, pasukan senior dan remaja negara telah kembali menjalani latihan seperti biasa, namun mengikut SOP yang telah ditetapkan pihak kerajaan.
"Skuad Bawah 21 tahun dan pasukan wanita ketika ini berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat, Kuala Lumpur manakala pasukan senior lelaki di MSN, Bukit Jalil," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!