Terap integriti dalam pendidikan

Abdullah Bukhari
Abdullah Bukhari
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dicadang menerapkan nilai integriti dalam silibus pendidikan secara rasmi sejak di peringkat sekolah rendah.

Ia bertujuan membentuk masyarakat supaya berintegriti tinggi sekali gus dapat menangani gejala rasuah dan penyelewengan.

Presiden Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim berkata, integriti lahir dari hati atau jantung setiap insan seperti yang disebutkan dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW.

“Saya cadangkan KPM terapkan aspek (integriti) ini sejak kecil lagi seperti yang dilakukan di negara yang rakyatnya mempunyai tahap integriti yang tinggi.

“Elemen sebegini perlu ada supaya orang sedar akan dosa dan pahala,” katanya selaku panelis pada Wacana Al-Quran Siri 5 bertajuk ‘Gadai Maruah Kerana Dunia’ di Studio F, Kumpulan Karangkraf yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian semalam.

Wacana itu turut menampilkan panelis Presiden Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar dan Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail selaku moderator serta qari My #QuranTime, Ustaz Mohamad Husaini Mahmur yang memperdengarkan bacaan Surah Al-Balad.

Mengulas lanjut, Abdullah Bukhari berkata, ayat al-Quran yang menyuruh manusia menerapkan nilai itu juga sangat istimewa kerana ayat itu turun dalam Kaabah ketika pembukaan Kota Makkah selepas kota suci itu jatuh ke tangan umat Islam.

Menurutnya, kisah yang berlaku ketika Nabi Muhammad SAW mahu memasuki Kaabah waktu itu perlu dijadikan iktibar oleh umat Islam kerana ia menunjukkan nilai integriti tinggi yang dipraktikkan Rasulullah.

Artikel Berkaitan:

Abdullah Bukhari (dua dari kanan) dan Akhbar (dua dari kiri) bergandingan dalam Wacana Al-Quran Siri 5 bertajuk 'Gadai Maruah Kerana Dunia’ semalam.
Abdullah Bukhari (dua dari kanan) dan Akhbar (dua dari kiri) bergandingan dalam Wacana Al-Quran Siri 5 bertajuk 'Gadai Maruah Kerana Dunia’ semalam.

“Ketika itu kunci Kaabah dipegang oleh sahabat Nabi, Uthman Bin Talhah dan ketika Nabi meminta kunci, ada sahabat lain yang berkata: “Rasulullah, keluargaku dah pegang hak konsesi air di Makkah jadi kebetulan dapat kunci Kaabah, berilah kunci itu aku pegang.” Lalu Uthman Bin Talhah berkata: “Aku pegang dengan amanah.”

“Lalu Nabi masuk ke Kaabah dan ketika itu turun ayat al-Quran dan apabila keluar dari Kaabah, Nabi membaca ayat itu sebelum meminta Uthman mengambil semula kunci itu dan berkata: “Ia menjadi hak keluarga kamu tanpa diganggu oleh sesiapa sampai kiamat.”

“Sebab itulah kalau kita pergi ke Makkah, kita dapati kunci tu dipegang oleh Bani Syaibah iaitu keturuan Uthman Bin Talhah. Kisah ini menunjukkan walaupun ia berkisar tentang kunci tetapi ia tetap satu amanah. Ia juga menunjukkan integriti tinggi yang dipraktikkan Islam dan diberi contoh oleh Rasulullah yang perlu dijiwai dan dipraktikkan,” katanya.

Beliau memberitahu, ayat-ayat al-Quran dan hadis nabi juga perlu dimuatkan dalam silibus pendidikan berkaitan integriti itu supaya ia dapat dijadikan sebagai panduan secara menyeluruh termasuk kepada pelajar di peringkat universiti.

Mohamad memperdengarkan bacaaln Surah Al- Balad.
Mohamad memperdengarkan bacaaln Surah Al- Balad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!