Pas minta rakyat kekal tenang
SHAH ALAM - Pas meminta rakyat negara ini kekal tenang berikutan pelbagai spekulasi sedang dimainkan oleh pihak pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi situasi rumit ketika ini memandangkan negara sedang berdepan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) yang tinggi.
Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, sebarang pengumuman rasmi kerajaan harus diikuti menerusi saluran rasmi kerajaan yang benar-benar sahih.
"Rakyat juga tidak perlu termakan dengan tohmahan dan dakyah yang dilakukan oleh pembangkang yang cuba untuk mengucar-ngacirkan keamanan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai spekulasi pengisytiharan darurat yang kini semakin dimainkan oleh pihak pembangkang.
ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin sebenarnya berdepan darurat: Mohamad Sabu
Idris berkata, seandainya berlaku pengisytiharan darurat, ia adalah bagi menangani wabak Covid-19 yang masih dibenarkan dalam kerangka Perlembagaan dan diambil kira oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, kuasa prerogatif yang ada pada Yang di-Pertuan Agong sudah tentu menjadi penaung buat rakyat Malaysia yang semestinya mengambil kira semua perkara demi memastikan keharmonian, keselamatan dan kedamaian rakyat akan dapat dimiliki.
“Apa yang penting adalah soal berkaitan dengan kesihatan dan keselamatan rakyat seharusnya perlu diambil kira dan diberi tumpuan,” katanya lagi.
Tambahnya, pimpinan PH juga tidak perlu menimbulkan api kekecohan melampau dalam kalangan rakyat kerana rakyat telah muak dengan ‘politiking’ dan perebutan kuasa mereka sehingga melihatkan tindakan itu tidak mempedulikan keselamatan rakyat.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan di Pahang petang semalam.
ARTIKEL BERKAITAN:PM menghadap Agong di Istana Abdul Aziz Indera Mahkota
Spekulasi darurat: Muhyiddin menghadap Agong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!