Tiada pembelian panik berlaku

Aktiviti perniagaan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikenakan PKPB dilaporkan dalam keadaan terkawal dan tiada pembelian panik berlaku.
Aktiviti perniagaan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikenakan PKPB dilaporkan dalam keadaan terkawal dan tiada pembelian panik berlaku.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Aktiviti perniagaan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaporkan dalam keadaan terkawal dan tiada pembelian panik berlaku.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata bekalan 12 barang keperluan asas di peringkat runcit dan borong, juga masih berada pada tahap stabil.

Katanya 12 barang tersebut adalah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, pensanitasi tangan dan pelitup muka.

“KPDNHEP mengingatkan agar pengguna tidak perlu risau terhadap bekalan barang keperluan di sepanjang pelaksanaan PKPB ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya laporan itu hasil pemantauan terhadap 510 peruncit daerah terpilih di keempat-empat negeri berkenaan dengan 170 daripadanya di Sabah, Selangor (280), Kuala Lumpur (55) dan Putrajaya (5).

Selain itu, Iskandar Halim berkata kedudukan bekalan juga dipantau secara mingguan di peringkat pemborong.

Sementara itu tinjauan Bernama di beberapa pasar raya sekitar ibu negara mendapati tiada kesesakan luar biasa bagi pembelian barangan keperluan.

Pekerja swasta Hanipah Omar, 54, berkata, tiada keperluan untuk membeli barangan susulan berita mengenai keadaan politik dan pentadbiran negara kerana perkara tersebut masih belum muktamad atau keputusan yang kukuh daripada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan pembelian panik, apa yang dibeli hari ini adalah pembelian biasa kerana barang keperluan di rumah sudah habis," katanya.

Bagi Jason Ong, 31, keadaan pentadbiran negara masih sama jadi walaupun ada pelbagai spekulasi termasuk negara dikatakan akan darurat, perkara itu tidak menjadikan alasan untuk dirinya membuat pembelian panik.

"Pelbagai spekulasi sejak semalam mengenai negara kononnya akan darurat dan saya tengok hari ini, tidak ramai orang keluar membeli barangan, jadi saya berpendapat tidak perlu buat pembelian panik pada masa ini," katanya yang hanya keluar membeli keperluan harian biasa.

Spekulasi mengenai kemungkinan darurat diisytiharkan bagi mengelakkan pilihan raya mula tercetus susulan Mesyuarat Khas Kabinet pagi semalam, yang disusuli pertemuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Yang di-Pertuan Agong, yang dilaporkan turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!