39 banduan disahkan positif selepas ujian ketiga
GEORGETOWN - Seramai 39 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang yang positif wabak koronavirus (Covid-19) seperti dilaporkan semalam telah disahkan melalui ujian saringan ketiga.
Pengarahnya, Mohamed Jusoh Ismail berkata, kesemua banduan itu menjalani ujian ketiga selepas menunjukkan gejala walaupun dua ujian sebelum ini menunjukkan mereka negatif Covid-19.
Menurutnya, kesemua banduan itu dirawat di pusat Covid berisiko rendah di penjara tersebut dan dilaporkan stabil.
"Banduan-banduan ini telah menjalani dua ujian saringan sebelum ini namun keputusannya adalah negatif.
"Bagaimanapun, setelah mereka menunjukkan gejala, maka petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan ujian ketiga dan keputusannya positif," katanya ketika dihubungi hari ini.
Penjara Reman Pulau Pinang adalah penjara ketiga yang dilaporkan dijangkiti Covid-19 selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.
Dengan 39 kes aktif semalam, ia menjadikan jumlah keseluruhan banduan disahkan positif Covid-19 adalah seramai 446 orang.
Mohamed Jusoh berkata, hampir 200 banduan yang menunjukkan tanda pulih telah dipindahkan ke blok khas di zon hijau di penjara itu.
"Kita tidak memindahkan banduan yang pulih ke sel mereka buat waktu ini. Kebiasaannya, mereka perlu 14 hari untuk pulih sepenuhnya namun kita akan bincang dengan doktor untuk membuat keputusan," katanya.
Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters kakitangan kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 27 Oktober ini.
Selain Penjara Reman Pulau Pinang, Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal serta kawasan penjara tersebut turut diletakkan di bawah PKPD.
Sehingga semalam, 95 kes positif Covid-19 dilaporkan dengan tiga daripadanya melibatkan pegawai penjara tersebut.
Sementara itu, Penjara Seberang Perai tidak mencatatkan kes aktif baharu untuk dua hari berturut-turut.
Pengarahnya, Zulkifli Abdul Manah berkata, ujian swab telah dijalankan ke atas semua kakitangan dan banduan, keputusannya akan diperoleh dalam tempoh tiga hari lagi.
"Kami juga baru selesai menjalankan ujian swab ke atas banduan yang menjalani hukuman penjara selama enam bulan ke atas baru-baru ini. Bagi banduan yang menjalani hukuman penjara di bawah enam bulan, mereka menjalani ujian pada minggu pertama.
"Majoriti banduan disahkan positif setakat ini adalah mereka yang telah menjalani hukuman penjara selama enam bulan ke bawah. Banduan-banduan ini telah diasingkan sejak wabak ini menular iaitu Mac lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!